Media & Events

Pesara TM didenda RM5,000, hantar komunikasi palsu

11 Sep 2017, Sinar Harian

KUALA LUMPUR - Seorang pesara Telekom Malaysia (TM) didenda RM5,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah membuat dan memulakan penghantaran komunikasi  palsu menggunakan aplikasi Facebook, Julai lepas.

Hakim Zainal L.Saleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Kamarzaman Mustafa ,56, yang merupakan Orang Kena Saman (OKS) dan menasihatkan Kamarzaman supaya berfikir dahulu sebelum berkongsi apa-apa maklumat dalam laman media sosial.

“Pastikan dahulu kesahihan sesuatu perkara sebelum menyebarkannya, kalau sesuatu berita itu tidak betul atau tidak pasti, jangan sebarkan kerana itu boleh menyebabkan kegusaran kepada orang ramai,” katanya.

 
 

Mahkamah turut memerintahkan Kamarzaman menjalani hukuman penjara sebulan sekiranya dia gagal membayar denda. Dia membayar denda itu.

Kamarzaman didakwa menggunakan perkhidmatan aplikasi Facebook akaun profil “YB Kamarzaman” di pautan https://www.facebook.com/haji.kamarzaman/posts/460401760996621  secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang palsu sifatnya dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain pada 12.53 pagi , 19 Julai lepas.

Pautan itu kemudian telah dibaca di alamat restoran Starbucks AEON Alpha Angle, Bandar Baru Wangsa Maju di sini pada 10 pagi, 1 Ogos lepas.

Pendakwaan mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya dan juga boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Kamarzaman yang tidak diwakili peguam memohon hukuman ringan dengan alasan dia mempunyai pelbagai jenis penyakit.

“Saya hanya memuat naik status itu kerana prihatin sebagai seorang muslim. Jadi saya pohon hukuman ringan kerana saya juga mengalami pelbagai jenis penyakit seperti gout, kencing manis dan darah tinggi,” katanya.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) Norhani Mohamad Adzhar memohon hukuman setimpal kerana kes itu melibatkan kepentingan awam dan status yang dimuat naik itu telah mendatangkan kegusaran kepada orang ramai serta bersifat palsu.

Mengikut fakta kes, pada 1 Ogos lepas seorang lelaki telah membaca status yang dimuat naik oleh Kamarzaman, dan hasil siasatan mendapati akaun itu milik OKS dan  berdasarkan keterangan daripada Jabatan Perkhidmatan Kuarantum dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) mengesahkan bahawa status yang menjadi tular itu adalah komunikasi palsu. 

Share this article
Follow