Media & Events

Pewujudan Piawaian Baharu Buka Laluan Ke Arah Negara Pintar Digital

16 Oct 2015, bremama
PUTRAJAYA, 15 Okt (Bernama) -- Agenda digital negara menjadi keutamaan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) serta Jabatan Standard Malaysia (Standards Malaysia) dalam membangunkan piawaian baharu dan membentuk satu rangka kerja kawal selia baharu.

Dalam satu kenyataan bersama hari ini sempena Hari Standard Sedunia, SKMM dan Standards Malaysia berkata penyesuaian dan pewujudan piawaian baharu akan mengorak laluan kepada pembentukan Negara Pintar Digital.

Ketua Bahagian Teknologi dan Masyarakat SKMM, Aisharuddin Nuruddin berkata kewujudan piawaian yang baharu dibangunkan untuk Internet of Things (IoT) dan perkhidmatan kewangan digital akan memudahkan penubuhan bandar pintar mampan dalam era digital dengan IoT sebagai asas pemangkin.

Beliau berkata penguatkuasaan terhadap piawai sedia ada akan memastikan kualiti perkhidmatan, pengalaman, keselamatan, saling kendali dan saling hubungan pengguna perkhidmatan komunikasi.

"Keperluan program persijilan penguatkuasaan untuk peralatan komunikasi dan kesedaran pengguna dalam pembelian barangan yang diperakui adalah sama penting," katanya.

Aisharuddin berkata barangan yang diperakui telah menjalani proses ujian dan persijilan oleh SIRIM QAS International untuk memastikan ia memenuhi piawaian.

"Pengguna boleh mengenal barangan diperakui melalui label SKMM yang dilekatkan pada barangan berkenaan," katanya.

Ketua Pengarah Standards Malaysia, Datuk Fadilah Baharin berkata piawaian boleh mewujudkan komunikasi merentasi negara dan teknologi, serta keperluan untuk saling kendali dan keserasian teknologi.

"Label atau tanda persijilan adalah penting untuk pengguna memilih barangan dan perkhidmatan yang tepat memandangkan ia memastikan kualiti dan jaminan," katanya.

Selain daripada label SKMM bagi barangan komunikasi, pengguna juga boleh bergantung kepada label lain, termasuk Amalan Pengeluaran Baik (GMP), Analisis Bahaya dan Titik Kawalan Kritikal (HACCP), Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP) dan halal bagi makanan.

SKMM merupakan anggota Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsan (ITU) manakala Standards Malaysia pula adalah anggota Pertubuhan Pemiawaian Antarabangsa (ISO) dan Suruhanjaya Elektroteknikal Antarabangsa (IEC).
Share this article
Follow