Media & Events

Pondok Telefon Rebah Ke Bumi

06 Mar 2012, Selatan Online
Menyelusuri jalan ke Masjid Tanah pada minggu lalu beginilah nasib pondok telefon awam yang terdapat di Masjid Tanah pada hari ini, menyembah bumi dan terbiar ditepi jalan seolah-olah akur dan mengalah dengan kewujudan telefon bimbit dan telefon pintar. Telefon awam satu ketika dahulu merupakan satu alat perhubungan yang sangat dihargai dan begitu penting kepada orang ramai. Boleh dikatakan dalam setiap kampung terdapat telefon awam yang tersedia untuk diguna. Pada ketika itu kegunaan telefon awam ini begitu meluas, dan kebanyakkan urusan peribadi hinggalah kepada laporan kemalangan dan kebakaran dapat diselesaikan dengan menggunakan telefon awam. Anak-anak yang bersekolah asrama dapat menghubungi ibubapa dirumah dan begitu juga sebaliknya. Tetapi era itu telah berlalu bergitu pantas dalam milenium yang baru ini, kebanjiran telefon digital dan telefon pintar telah merubah suasana tersebut. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia melaporkan pada tahun 2010 sahaja sebanyak 33, 250, 177 telefon bimbit digunakan di negara ini. Ini bermakna purata seorang rakyat Malaysia mempunyai sebuah telefon bimbit dan selebihnya mempunyai dua telefon bimbit. Penggunaan telefon bimbit sudah tentunya lebih mudah berbanding telefon awam, namun begitu takkanlah syarikat telefon awam ini membiarkan pondok-pondok telefon mereka yang telah rebah kebumi begitu sahaja. Keadaan ini mencacatkan pemandangan orang ramai dan seolah-olah ianya tidak diurus dengan baik.
Share this article
Follow