Media & Events

PPR Sri Pantai, Kerinci perintis PI1M di kawasan bandar

25 Mar 2013, Kosmo

KUALA LUMPUR 25 Mac - Golongan berpendapatan rendah di kawasan bandar kini boleh menikmati perkhidmatan internet secara percuma apabila Pusat Internet 1Malaysia (PL1M) yang pertama akan dibina di kawasan itu pula selepas berjaya dilaksanakan di kawasan luar bandar.

Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, pembinaan pusat perkhidmatan itu merupakan satu lagi projek yang dijanjikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam Bajet 2013 lalu.

Jelas beliau, kawasan Projek Perumahan Rakyat (PPR) Sri Pantai, Kerinchi di sini dipilih sebagai projek perintis pembinaan pusat itu.

"Sejak dilaksanakan pada 2010, sebanyak 306 PI1M telah dibina di kawasan luar bandar di seluruh negara,

"Pada tahun ini pula, 100 pusat itu akan dibina di bandar dengan memberi tumpuan pada kawasan PPR terpilih sebagaimana yang diumumkan Perdana Menteri dalam pembentangan Bajet 2013,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran PI1M dan Program Kenali Jiran Kita di PPR Sri Pantai, Kerinchi yang dihadiri kira-kira 5,000 penduduk di sini hari ini.

Program itu dilancarkan oleh Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Zainal Abidin.

PI1M yang dikendalikan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan dilengkapkan 20 unit komputer meja dan perkakasannya, kemudahan internet jalur lebar berkelajuan tinggi serta kemudahan WiFi.

Dua kakitangan dilantik untuk menguruskan pusat tersebut serta menganjurkan latihan dan bimbingan berterusan dalam bidang teknologi maklumat dan komunikasi secara percuma kepada semua pengguna.

Golongan orang kurang upaya (OKU) tidak dipinggirkan untuk memperoleh manfaat daripada program berkenaan kerana pusat perkhidmatan itu turut dilengkapi kemudahan Braille dan kemudahan-kemudahan lain yang mesra golongan itu.



Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130325/dn_55/PPR-Sri-Pantai-Kerinci-perintis-PI1M-di-kawasan-bandar#ixzz2OhPFtJu9
© Utusan Melayu (M) Bhd 
Share this article
Follow