Media & Events

Projek USP gempur 89 kawasan atasi jurang digital

03 Jun 2002, Berita Harian, Khairul Anuar Samad
Oleh Kerajaan sedang merancang untuk menggempur 89 kawasan di seluruh negara yang dikenal pasti sebagai kawasan yang berada pada tahap penggunaan Internet rendah (underserved) dalam usaha merapatkan jurang digital di negara ini. Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Tan Sri Nuraizah Abdul Hamid berkata, bagi memangkinkan usaha ini ia akan membabitkan SKMM dan syarikat telekomunikasi tempatan yang mana pada peringkat awal program ia hanya membabitkan tiga kawasan. Katanya, tiga kawasan yang dikenal pasti akan terbabit dalam fasa pertama projek Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) itu ialah Julau di Sarawak; Kinabatangan (Sabah) dan Yan (Kedah). "Projek USP ini dijangka dilancarkan dalam tempoh dua bulan lagi yang mana kawasan berkenaan dikenal pasti berada pada tahap bawah penggunaan Internet negara iaitu kurang 20 peratus menikmati kemudahan akses, prasarana dan perkhidmatan Internet. "Pelaksanaan projek ini penting untuk memastikan masyarakat di seluruh negara dapat menikmati atau mengakses kepada system telekomunikasi secara adil dan menyeluruh," katanya kepada media di Kuala Lumpur baru-baru ini. Nuraizah berkata, untuk memangkinkan pelaksanaan fasa pertama projek itu, SKMM mengorak langkah awal dengan bersetuju menjadi penymbang kepada dana projek itu melalui sumbangan sebanyak RM30 juta. Katanya, jumlah dana itu dijangka akan meningkat kepada RM350 juta menjelang akhir tahun ini apabila projek itu berjalan lancar dengan membabitkan penyertaan daripada pelbagai syarikat telekomunikasi dan multimedia tempatan nanti. "Sumbangan daripada syarikat berkenaan dijangka mula dinikmati apabila mereka berjaya mendapat kontrak untuk melaksanakan projek itu yang mana pemilihannya nanti akan dilaksana berdasarkan ciri penawaran tertentu terdapat pada syarikat masing-masing. "Antara ciri penawaran yang bakal memberi kelebihan kepada syarikat telekomunikasi berkenaan ialah tahap penyediaan kemudahan telekomunikasi di kawasan terbabit dalam projek itu selain perancangan menyeluruh bagi mengatasi jurang digital itu," katanya. Beliau menegaskan bahawa projek itu tidak mempunyai sebarang kepentingan terhadap perniagaan sesebuah syarikat, malah ia diperuntukkan di bawah undang-undang dalam ke arah menyediakan kepada masyarakat kemudahan telekomunikasi khususnya dalam era siber ini. "Apa yang pasti, melalui projek ini kami berharap ia mampu mewujudkan tahap kesedaran yang tinggi di kalangan mereka yang terbabit dalam industri ini supaya turut sama berusaha merapatkan jurang digital di negara ini," katanya.
Share this article
Follow