Media & Events

Pulau Pinang model pelaksanaan jalur lebar

19 Jul 2003, Hizral Tazzif Hisham, Berita Harian
Pulau Pinang menjadi medan ujian pelaksanaan jalur lebar apabila kerajaan negeri dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menjalankan kajian permintaan perkhidmatan berkenaan bagi sektor awam dan swasta, dan data dikumpul itu akan menjadi input terhadap pembangunan Pelan Jalur Lebar Kebangsaan. Dianggarkan hampir 100,000 pengguna jalur lebar dijangka terbabit dalam kajian dijalankan untuk tempoh dua bulan menggunakan Internet, pertemuan dan tinjauan di kalangan orang ramai untuk mengukur tahap permintaan perkhidmatan jalur lebar di negeri terbabit. Data diperoleh daripada kajian itu akan menjadi asas bagi pembangunan Pelan Jalur Lebar Kebangsaan yang akan dilancarkan ke seluruh negara. Pengurus Besar SKMM, Bustamam Siru Abdul Rahman, berkata pemilihan Pulau Pinang kerana sokongan penuh kerajaan negeri dan langkah proaktif yang diambil untuk menggalakkan penggunaan perkhidmatan jalur lebar di negeri itu. “Tambahan pula, sebahagian besar syarikat multinasional menjadikan Pulau Pinang sebagai pangkalan mereka yang memerlukan kapasiti tinggi untuk tujuan komunikasi di samping sikap penduduk Pulau Pinang yang peka terhadap inovasi dan pembangunan,” katanya. Sehubungan itu, bagi memudahkan proses pendaftaran kerajaan negeri dan SKMM melancarkan gerbang web bagi menggalakkan penyertaan syarikat antarabangsa, Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan agensi kerajaan negeri untuk memanfaatkan perkhidmatan jalur lebar. Gerbang berkenaan yang boleh diakses menerusi alamat www.northernhub.gov.my turut menyediakan maklumat kepada pengunjung laman web itu untuk mempelajari pelbagai aspek mengenai jalur lebar dan manfaat yang diberikan. Ia sebahagian daripada inisiatif SKMM dan Majlis K-ICT Pulau Pinang. Gerbang www.northernhub.gov.my diwujudkan khas untuk mengumpul maklumat bagi mengukur tahap permintaan perkhidmatan jalur lebar di Pulau Pinang pada mulanya tetapi akan diperluaskan ke Perak, Kedah dan Perlis. Data yang terkumpul akan dijadikan asas kepada model permintaan dan kewangan dalam Pelan Jalur Lebar Kebangsaan sebelum ia diperkenalkan ke seluruh negara. Jalur lebar adalah nama am bagi sambungan jalur lebar Internet yang mampu menyalur dan memindah turun maklumat 40 kali ganda lebih pantas berbanding talian dail. Dengan adanya perkhidmatan jalur lebar, pelbagai perkhidmatan dan aplikasi lain dapat dilaksanakan dan beroperasi. Beliau berkata, SKMM berharap dapat mengumpulkan sekurang-kurangnya 100,000 pengguna jalur lebar berdaftar di negeri itu sebaik saja tempoh kajian selesai sebelum membangunkan satu model untuk memadankan keperluan dan kemampuan prasarana sistem rangkaian sedia ada dan pelan pembangunan bekalan perkhidmatan jalur lebar. “Kita akan menyediakan pelan gabungan antara model permintaan dan bekalan perkhidamatan jalur lebar di Pulau Pinang yang akan dibentangkan pada mesyuarat jawatankuasa Majlis K-ICT Pulau Pinang dan kerajaan negeri,” katanya.
Share this article
Follow