Media & Events

Pusat Internet 1Malaysia Pertama Dalam Bandar Akan Dilancar

21 Mar 2013, Bernama
 KUALA LUMPUR, 21 Mac (Bernama) --  Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) Seri Pantai yang akan dilancarkan pada 25 Mac ini, menjadi pusat Internet pertama diwujudkan dalam kawasan bandar di bawah Inisiatif Jalur Lebar Kebangsaan.<br />
 
Ketua Bahagian Pembangunan Luar Bandar, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Uzer Tajudin berkata perkhidmatan yang akan disediakan di PI1M ini ialah capaian Internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan perkhidmatan Wi-Fi bagi capaian penduduk sekitar.
 
Kemudahan lain ialah seperti 20 buah komputer dan perisian, perkhidmatan faks, pencetak, program latihan penggunaan Teknologi Maklumat dan Komunikasi, pembangunan modal insan dan aktiviti berkaitan yang akan diuruskan oleh pengurus pusat berkenaan, katanya.
 
Uzer berkata melalui PI1M ini, latihan penggunan Internet akan diberikan terlebih dahulu kepada masyarakat supaya mereka terdedah dengan penggunaan Internet secara bijak.
 
Jelas beliau kemudahan ini juga bertujuan membantu golongan masyarakat di kawasan bandar yang kurang berkemampuan dan ia terbuka kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira usia.
 
"Perkhidmatan jalur lebar telah banyak dilaksanakan di kawasan luar bandar. Inisiatif ini diperluaskan berikutan terdapat juga keluarga atau masyarakat yang kurang berkemampuan tinggal di kawasan bandar," katanya ketika ditemubual menerusi program Dalam Radar, terbitan Bernama Radio24, semalam.
 
Majlis pelancaran PI1M Seri Pantai akan disempurnakan oleh Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr Rais Yatim di PPR Kerinchi, Pantai Dalam, di sini.
 
Menurut Uzer menerusi Belanjawan 2013, SKMM akan menyediakan capaian Internet jalur lebar secara kolektif di 100 buah kawasan Program Perumahan Rakyat (PPR) terutama di bandar-bandar besar terpilih di seluruh negara.
 
Beliau berkata pemilihan lokasi PI1M berdasarkan kepada tinjauan dan lawatan tapak mengikut garis panduan yang telah ditetapkan oleh SKMM dengan kerjasama agensi kerajaan pusat dan negeri yang berkaitan.
 
Share this article
Follow