Media & Events

Rakyat kini kembali nikmati siaran MYTV - Gobind

30 Nov 2018, bernama
KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Perkhidmatan ujian televisyen digital MYTV di beberapa negeri iaitu Kelantan, Pahang, Terengganu, Negeri Sembilan, Perak, Melaka, Sabah dan Sarawak yang mengalami gangguan sejak 11 Okt lalu kini boleh dinikmati semula oleh rakyat.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berkata gangguan itu berpunca daripada beberapa isu komersil di antara pihak MYTV Broadcasting Sdn. Bhd (MYTV) dan Telekom Malaysia Berhad (TM).

“Saya berpuas hati kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat berhubung dengan isu mereka. Ini bagi memastikan perkhidmatan TV digital akan dapat dinikmati oleh rakyat bermula hari ini.

“Apa yang lebih penting, penyampaian perkhidmatan kepada rakyat perlulah sentiasa diberikan pertimbangan dan keutamaan tertinggi oleh semua penyedia perkhidmatan,” katanya dalam satu kenyataan yang dimuat naik menerusi Twitter dan Facebook beliau hari ini.

Menurutnya beliau telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya memudah cara penyelesaian isu tersebut dalam tempoh terdekat selain beberapa siri perbincangan diadakan di antara MCMC, MYTV dan TM sejak beberapa minggu lalu.

Katanya MCMC telah melaporkan bahawa MYTV dan TM bersetuju terhadap kaedah penyelesaian berhubung isu komersil membabitkan kedua-dua pihak.

Gobind ketika menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (PAS-Pasir Mas) berhubung isu itu di Dewan Rakyat minggu lepas, berkata penyelesaian isu gangguan perkhidmatan ujian televisyen digital MYTV yang sedang berlaku diharap dapat dicapai minggu ini.
Share this article
Follow