Media & Events

Rebat telefon: 121,000 belia daftar

11 Jan 2013, Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 10 Jan. — Seramai 121,000 orang belia yang berumur dari 21 hingga 30 tahun mendaftar setakat malam tadi untuk mendapatkan rebat RM200 Pakej Komunikasi Belia (PKB) bagi pembelian telefon pintar.

Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata, secara puratanya, seramai 25,000 permohonan diproses dan diluluskan setiap hari sejak rebat itu dilancarkan seminggu yang lalu.

"Kita sangat gembira menyaksikan perkembangan positif daripada belia di negara ini yang menyambut baik terhadap pakej rebat yang dilancarkan kerajaan ini.

"Bagi memastikan kelancaran proses pendaftaran, pihak SKMM juga mengemas kini laman sesawang PKB iaitu komunikasibelia.skmm.gov.my dan nbi.skmm.gov.my," katanya selepas sesi wawancara program Helo Malaysia, di sini malam tadi.

Beliau turut menegaskan bahawa pendaftaran untuk mendapatkan skim berkenaan adalah berdasarkan konsep siapa cepat dia dapat iaitu tawaran tersebut akan ditutup setelah 1.5 juta belia menggunakan rebat itu.

"Justeru, belia yang ingin mendapatkan rebat ini perlu berbuat demikian dengan segera," katanya.

Mohamed Sharil berkata, selepas belia mendaftar untuk mendapatkan rebat, tempoh sah untuk menggunakan rebat itu hanya diberikan selama sebulan.

"Bagaimanapun jika rebat ini tidak digunakan selepas tamat tempoh sebulan, belia boleh mendaftar semula untuk mendapatkan rebat ini, namun ia bergantung kepada berapa ramai belia menggunakan rebat ini," katanya.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan Bajet 2013 mengumumkan pemberian rebat RM200 secara one-off kepada belia yang membeli satu unit telefon mudah alih pintar 3G bertujuan membuka akses maklumat kepada mereka.

Share this article
Follow