Media & Events

Rebut geran niaga

30 Jul 2013, Utusan Malaysia
Golongan wanita boleh merebut peluang mempertingkatkan perniagaan mereka menerusi jualan dalam talian. - Gambar hiasan

INISIATIF yang dilakukan oleh kerajaan melalui Belanjawan 2013 membantu seramai 50,000 usahawan mikro, terutamanya wanita yang berpeluang meningkatkan jualan secara dalam talian.

Setiap seorang daripada mereka akan diberikan geran RM1,000 melalui peruntukan RM50 juta oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Program yang dinamakan Get Malaysian Business Online (GMBO ) ini telah pun dimulakan sejak 1 Januari tahun ini dan akan berakhir pada Disember 2013 nanti.

Ketua Jabatan Sekretariat Perancangan dan Koordinasi, Bahagian Pengurusan Jalur Lebar SKMM, Azizan Mohd. Afandi yang ditemui baru-baru ini berkata, objektif geran itu bagi membantu usahawan membangunkan laman sesawang, meningkatkan atau menambah baik laman sesawang sedia ada.

Menurut Azizan, sehingga kini sebanyak 58 peratus atau seramai 4,500 wanita telah memohon.

Sebanyak 26.4 peratus daripada mereka adalah wanita yang berumur di antara 26 tahun hingga 30 tahun, 22.4 peratus (31 - 35 tahun) dan 14.36 peratus ( 18-25 tahun).

Bagaimanapun kata Azizan, ini tidak bermakna wanita sahaja yang layak memohon kerana permohonan turut dibuka kepada kaum lelaki.

"Permohonan setakat ini begitu menggalakkan. Ini satu geran yang menarik untuk membantu usahawan.

"Syarat kelayakan tidak sukar, iaitu warganegara Malaysia berumur 18 hingga 65 tahun dengan keutamaan kepada usahawan wanita, mempunyai syarikat yang berdaftar, laman sesawang yang aktif dengan nama domain .com.my/.my/.edu.my/.net.my/org.my.

"Juga mempunyai langganan kepada perkhidmatan telekomunikasi jalur lebar atau ahli Pusat Internet 1 Malaysia (Pl1M), memiliki akaun bank tempatan atas nama usahawan atau syarikat yang digunakan untuk perniagaan dan keutamaan kepada usahawan mikro dengan jumlah pekerja sepenuh masa tidak melebihi 10 orang atau pendapatan tidak melebihi RM200,000 setahun,'' jelas Azizan.

Beliau menambah, pemohon tidak semestinya terlibat dalam perniagaan yang berurusan jual beli.

Mereka yang memberikan perkhidmatan seperti kedai makan, tukang paip, tukang mesin rumput dan sebagainya juga layak memohon.

Setakat ini ujarnya, terdapat usahawan yang telah berjaya mempromosi perniagaan mereka melalui dalam talian.

Sebagai contoh, Kabilah Hassan, pengusaha rumpai laut di Kunak, Sabah yang pendapatan sebelumnya RM450 sebulan dan kini memperoleh RM20,000 sebulan.

Seorang lagi yang dianggap berjaya ialah Zaidi Awang dari Sik, Kedah yang mengusahakan bantal kekabu.

Dengan bantuan Internet, hasil jualan Zaidi meningkat daripada 100 biji kepada 100,000 biji sebulan dengan pendapatan RM80,000 sebulan.

"Pihak kami mahu menggalakkan penggunaan internet dan komputer sebagai cara berkomunikasi yang mudah untuk membeli barang dan menjana ekonomi.

"Jika usahawan kecil tidak mengikut trend ini mereka akan lebih ketinggalan. Mereka mesti mempunyai laman sendiri supaya lebih profesional.

"Memang ramai yang masih tidak tahu mengenai penggunaan komputer dan Internet.

" Untuk itu, kami berkolaborasi dengan agensi-agensi kerajaan dan pemilik perusahaan kecil sederhana bagi memberi ceramah-ceramah di seminar dan sebagainya,'' kata Azizan.

Beliau menjelaskan, cara memohon amat mudah di mana pemohon tidak perlu menghantar borang atau menghantar dokumen.

Permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui laman http://gmbo.skmm.gov.my. Jika pemohon tiada akses Internet, permohonan boleh dilakukan di Pusat Internet 1 Malaysia berdekatan. Nombor rujukan akan diberi bagi penghantaran permohonan lengkap.

Permohonan akan disemak berdasarkan syarat-syarat kelayakan yang ditetapkan dalam masa 30 hari bekerja atau lebih daripada tarikh permohonan yang dihantar.

Permohonan yang berjaya akan menerima sebanyak RM1,000 yang akan dikreditkan ke dalam akaun.

Bagi maklumat mengenai GMBO, hubungi 1-800-88-4040, emel [email protected] atau laman sesawang gmbo.skmm.gov.my.

Share this article
Follow