Media & Events

Risiko, Isu keselamatan diambil kira laksana 5G - Gobind

03 Jul 2019, bernama
KUALA LUMPUR, 3 Julai (Bernama) -- Kerajaan mengambil kira risiko dan isu keselamatan yang mungkin timbul dalam proses pelaksanaan teknologi generasi kelima (5G) di Malaysia, kata Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo.

Beliau berkata Pasukan Petugas Khas 5G Negara, Agensi Keselamatan Siber Negara dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan penyedia-penyedia rangkaian sedang mengenal pasti risiko teknologi tersebut.

"Langkah-langkah yang perlu diambil untuk mengurangkan risiko keselamatan sekiranya ada, turut sedang dikaji...isu keselamatan sememangnya menjadi keutamaan," katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wong Ling Biu (DAP-Sarikei) mengenai apakah yang telah dilakukan setakat ini dengan teknologi 5G dan adakah negara mempunyai kepakaran melaksanakannya.

Menjawab soalan tambahan Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim (BN-Baling) mengenai kebimbangan impak buruk radiasi 5G terhadap alam sekitar dan kesihatan, Gobind berkata ia dijangka diketahui selepas laporan projek rintis enam bulan disiapkan.

"Kita perlu bersedia untuk terima pelaksanaannya dalam masa terdekat, namun aspek keselamatan tetap menjadi keutamaan kami dan sebab itulah kami mengadakan projek rintis ini yang dilaksanakan untuk enam bulan di Putrajaya dan Cyberjaya.

"Sepanjang enam bulan ini, kami ada perbualan dan perbincangan dengan pelbagai pihak bagi mendapatkan sebanyak mana maklumat mengenai kekhuatiran tersebut dan selepas enam bulan, laporan mengenai projek rintis itu akan disiapkan termasuklah memberi fokus kepada isu keselamatan," katanya.

Dalam pada itu, Gobind berkata penubuhan Pasukan Petugas Khas 5G Negara adalah satu inisiatif libat urus kerajaan bagi mencadangkan syor-syor serta strategi pelaksanaan teknologi 5G di Malaysia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo
Katanya, antara yang akan dilakukan pasukan tersebut termasuklah mencadangkan pelan ketersediaan sumber spektrum serta menyediakan sokongan untuk infrastruktur, perkhidmatan dan peranti.

"Teknologi 5G adalah penting bagi mempertingkatkan tahap persaingan negara menghadapi cabaran ekonomi digital dan Malaysia adalah antara negara pertama yang membuka jalan bagi merancang pembangunan teknologi 5G melalui penubuhan Pasukan Petugas Khas 5G Negara pada November 2018 yang lepas,” katanya.

Katanya, pasukan itu juga berfungsi memberikan cadangan penyelesaian kekangan undang-undang dan kerangka kawal selia yang berkaitan serta langkah-langkah untuk perlindungan pengguna.

Beliau berkata sehingga 19 Jun lalu, Pasukan Petugas Khas 5G Negara dianggotai 110 organisasi yang terdiri daripada wakil pihak kerajaan, pihak swasta, kementerian, jabatan, agensi kerajaan serta anggota akademik.

Gobind menambah, pelbagai perbincangan, inisiatif dan gerak kerja akan terus dirancakkan lagi bagi memastikan tahap kesiapsiagaan dapat dipertingkatkan dalam mempercepatkan pelaksanaan teknologi 5G di Malaysia, dan secara tidak langsung mengubah landskap industri teknologi komunikasi maklumat (ICT) Malaysia terutamanya infrastruktur rangkaian telekomunikasi.
Share this article
Follow