Media & Events

Risiko Jika Pinjamkan Nama Daftar Prabayar

15 Dec 2006, BERITA HARIAN
KUALA LUMPUR: Sesiapa yang membenarkan namanya digunakan untuk pendaftaran talian telefon bimbit prabayar orang lain, berdepan risiko dikenakan tindakan undang-undang jika orang itu melakukan kesalahan jenayah. Menjelang tarikh akhir pendaftaran talian prabayar hari ini, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengingatkan orang ramai supaya tidak mengambil risiko mendaftar talian untuk orang lain terutama yang tidak dikenali. Ketua Komunikasi Korporat SKMM, Adelina Iskandar, berkata walaupun ketika ini perkara itu bukan satu kesalahan undang-undang, orang ramai harus peka dan bertindak bijak bagi mengelak timbul masalah pada masa depan. “Hanya maklumat pendaftar yang direkodkan bagi setiap talian dan penama berdepan risiko jika telefon mereka digunakan untuk kegiatan yang menyalahi undang-undang,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam. Adelina berkata, SKMM sudah memaklumkan kepada pengguna mengenai risiko jika membenarkan pihak lain, terutama pendatang asing tanpa izin yang tiada maklumat pengenalan diri, mendaftar talian prabayar menggunakan nama mereka. Bagi memastikan gejala itu dapat dibendung, SKMM akan menyiasat individu yang mendaftar terlalu banyak talian prabayar kerana dikhuatiri ada unsur salah guna atau jenayah. SKMM juga menetapkan semua pendaftaran talian prabayar akan dianggap tidak sah jika wujud pemalsuan maklumat seperti menggunakan data atau pengenalan diri orang lain tanpa kebenaran. “Individu yang menyedari nama serta butiran diri mereka digunakan tanpa kebenaran, perlu membuat aduan kepada syarikat telekomunikasi berkaitan atau melaporkannya kepada pihak berkuasa,” katanya. Adelina menjelaskan, had umur minimum mendaftar talian prabayar ialah 12 tahun dan mereka yang di bawah umur perlu menggunakan nama keluarga terdekat seperti ibu atau bapa bagi membolehkan talian didaftarkan. Sehingga semalam, 17.8 juta daripada sasaran 18.5 juta pengguna talian prabayar sudah mendaftar dan angka itu dijangka meningkat hari ini. Kerajaan sebelum ini mengarahkan supaya semua pengguna talian telefon prabayar mendaftarkan maklumat diri mereka dengan syarikat pengendali perkhidmatan masing-masing selewat-lewatnya hari ini. Talian mereka yang gagal berbuat demikian akan disekat mulai esok dan mereka hanya boleh menerima panggilan atau khidmat pesanan ringkas (SMS) tetapi tidak boleh menghantarnya, kecuali ke nombor kecemasan. Mulai 30 Disember ini, kad modul pengenalan pelanggan (SIM) talian pengguna prabayar yang gagal mendaftar akan dinyahaktifkan sepenuhnya, menyebabkan mereka kehilangan baki dan semua maklumat yang disimpan di dalamnya. Sementara itu, kebanyakan syarikat pengendali perkhidmatan telekomunikasi bergerak tempatan menyediakan kemudahan tambahan untuk membolehkan pengguna prabayar mendaftar talian mereka. Sebahagian besar syarikat terbabit juga melanjutkan tempoh operasi pusat perkhidmatan masing-masing hingga lewat malam bagi memudahkan pengguna memenuhi syarat pendaftaran terbabit sebelum tempoh berbuat demikian berakhir malam ini.
Share this article
Follow