Media & Events

RM 30 juta untuk percepat pelaksanaan USP

07 May 2002, Berita Harian
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menubuhkan akaun amanah dengan peruntukan awal berjumlah RM30 juta bagi mempercepatkan pelaksanaan program Penyediaan Perkhidmatan Sejagat (USP). Pengerusinya, Tan Sri Nuraizah Abdul Hamid, berkata matlamat utama program itu adalah bagi menyediakan kemudahan rangkaian komunikasi di kawasan pedalaman yang selama ini tidak diliputi oleh syarikat penyedia perkhidmatan berkenaan. "Buat permulaan MCMC menyumbangkan RM30 juta bagi memastikan program yang dirancang dapat dilaksanakan secepat mungkin. "Kami menjangkakan dana dalam akaun amanah itu akan meningkat kepada kira-kira RM350 juta menjelang penghujung tahun ini, iaitu apabila semua syarikat komunikasi dan multimedia berlesen di seluruh negara memberikan sumbangan mereka," katanya pada sidang akhbar mengenai Hari Telekomunikasi Sedunia di Kuala Lumpur semalam. Nuraizah berkata, akaun amanah yang berasaskan sumbangan daripada syarikat komunikasi dan multimedia tempatan itu diwujudkan kerana di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998, MCMC perlu memastikan semua kawasan di seluruh negara dapat menikmati kemudahan perkhidmatan rangkaian dan struktur komunikasi secara meluas. "Kita sudah mengenal pasti 89 kawasan di seluruh negara dan tiga daripadanya akan dijadikan sebagai perintis untuk program USP ini, katanya. Beliau berkata, kawasan berkenaan ialah Julau di Sarawak; Kinabatangan di Sabah dan Yan di Kedah. "Dalam tempoh satu atau dua bulan ini, kami akan mengumumkan syarat dan peraturan bagi Akaun Amanah ini untuk dijadikan panduan kepada semua syarikat telekomunikasi dan multimedia lain," katanya. Sementara itu, sambutan Hari Komunikasi Sedunia akan dilancarkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi pada 17 Mei ini. Ia akan disiarkan secara langsung dalam rancangan Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan Sistem Televisyen Malaysia Bhd (TV3). Sabutan berkenaan adalah untuk meningkatkan kesedaran pengguna mengenai perkhidmatan telekomunikasi yang akan membawa kepada penggunaan peralatan digital pada masa depan. "Sudah lima tahun kita tidak mengadakan sebarang sambutan tetapi tahun ini, dengan kerjasama wakil industri multimedia dan telekomunikasi, ia akan disambut secara besar-besaran dengan mengadakan pelbagai kegiatan. "Bertepatan dengan tema sambutan tahun ini, 'Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT) Untuk Semua', pengguna harus berani untuk menggunakan teknologi sedia ada untuk memajukan diri selain mengurangkan jurang antara masyarakat bandar dengan mereka yang kurang didedahkan dengan teknologi terkini," katanya. Antara kegiatan yang akan diadakan bermula 13 Mei hingga 2 Jun itu termasuk Program Laluan Jalur Lebar dan Multimedia, Mencari Harta Karun, Pertandingan Mereka Cipta Menara Telekomunikasi dan forum Asia Pasifik mengenai Polisi dan Syarat Telekomunikasi.
Share this article
Follow