Media & Events

RM17 Juta Dibelanja Sehari Hantar SMS

20 Dec 2006, Ministry of Energy, Water and Communications (KTAK)
Pengguna telefon bimbit di negara ini membelanjakan lebih RM17 juta sehari untuk menghantar sekurang-kurangnya empat khidmat pesanan ringkas (SMS) seorang bagi pelbagai tujuan, termasuk melanggan dan memuat turun nada dering. Kajian yang dijalankan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dari 2002 hingga sekarang mendapati secara keseluruhan penggunaan SMS menunjukkan peningkatan jumlah SMS iaitu dua hingga tiga bilion setiap tahun. Angka perbelanjaan dan jumlah SMS itu diperoleh daripada anggaran 21.5 juta individu yang menggunakan telefon bimbit di negara ini. Secara purata seorang pengguna telefon bimbit akan menghantar lebih empat SMS sehari dan jika dihitung dengan jumlah keseluruhan pengguna telefon bimbit di negara ini, ia mencatatkan 86 juta SMS. Caj perkhidmatan yang dikenakan syarikat telekomunikasi tempatan lebih murah dan praktikal berbanding panggilan biasa, sekali gus menarik lebih ramai pengguna memilih menggunakan SMS. Pada masa sama, caj melanggan dan memuat turun nada dering serta ‘wallpaper’ antara 50 sen hingga RM5 turut meningkatkan lagi kadar perbelanjaan pengguna telefon bimbit. SKMM mengingatkan pengguna agar perlu peka dalam penggunaan SMS, termasuk mengelak daripada pembaziran sehingga mendedahkan mereka kepada risiko ditipu.
Share this article
Follow