Media & Events

RM42,834 hadiah juara MYDD 2017

08 Aug 2017, Harian Metro

GANJARAN lumayan sebanyak AS$10,000 (RM42,834) bakal menjadi 'habuan' bagi pemenang tempat pertama pertandingan mencipta aplikasi digital yang dianjurkan bersempena Hari Pembangun Aplikasi Malaysia (MYDD) 2017, Jumaat dan Sabtu ini.

Program kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan AT&T Inc yang memasuki tahun kelima itu bakal berlangsung secara besar-besaran di bangunan lama Ibu Pejabat SKMM, Cyberjaya.

 
 

Ketua Pegawai Sektor Komunikasi dan Ekosistem Digital SKMM, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata, penganjuran kali ini mengangkat tema 'Internet of Things (IoT) and Data Analytics' dan peserta dikehendaki mencipta aplikasi dalam tempoh 24 jam.

Beliau berkata, tujuan utama penganjuran itu bagi menggalakkan pembangun aplikasi memanfaatkan kreativiti mereka selain menjadikan MYDD sebagai platform mempelajari kemahiran baru.

"Sepanjang empat tahun dianjurkan, program ini banyak mencungkil bakat baru yang berpotensi. Malah ia juga dilihat sebagai platform penting dalam memupuk penghasilan aplikasi digital yang bermanfaat kepada masyarakat dan negara," katanya.

Sementara itu, mentor MYDD Johnson Lam berkata, peserta akan dipantau oleh tenaga pengajar yang pakar dalam pelbagai bidang termasuk bidang Internet untuk segalanya (IoT), keusahawanan, kewangan serta perancangan bandar.

Menurutnya, mentor akan menyediakan garis panduan serta pandangan dalam usaha membantu peserta menghasilkan aplikasi yang lebih bermanfaat serta menepati kehendak penganjur.

"Peranan kami sebagai mentor adalah menolong peserta membuat keputusan yang bernas dan tepat. Jika aplikasi yang dihasilkan tidak

relevan untuk diguna pakai serta tidak mempunyai kaitan dengan Malaysia, ia akan menjadi satu produk yang tidak bagus," katanya ketika ditemui di Cyberjaya, hari ini.

Dalam pada itu, pemenang MYDD tahun lalu, Francis Pang, 34, mengakui pertandingan MYDD banyak memberi ilmu dan pengalaman baharu

buat dirinya serta rakan seperjuangannya Jin How, 34.

Menurutnya, dia memperoleh kemenangan pada tahun lalu dengan penghasilan aplikasi digelar sebagai 'CurioCITY'.

"Aplikasi ini membolehkan pengguna mendapat maklumat terperinci berkaitan tempat pelancongan menarik di negara luar. Pemandu pelancong dari negara yang dipilih akan melakukan video streaming bagi membawa pengguna melihat sendiri lokasi menarik di negara terbabit.

"Aplikasi untuk iOS dan Android ini akan dilancarkan secara rasmi tidak lama lagi," katanya.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai pertandingan terbabit boleh melayari laman web SKMM untuk maklumat lanjut.

Share this article
Follow