Media & Events

Sekat Radio Free Sarawak

24 Apr 2012, The Borneo Post
MIRI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) perlu menyekat penyebaran luas saluran Radio Free Sarawak SW2 (15,420 kHz) yang dilihat memburuk-burukkan kerajaan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lambir Ripin Lamat berkata, radio yang diperkenalkan parti pembangkang itu hanya bertujuan untuk mengkritik kerajaan menjelang pilihan raya. “Kami menggesa agensi terbabit mengambil tindakan undang-undang terhadap penyebaran luas Radio Free Sarawak dengan menghentikan frekuensi radio pembangkang itu,” katanya ketika ditemui semalam. Beliau memberitahu, kerajaan perlu mengambil tindakan drastik berikutan radio ter- babit mempunyai unsur-unsur hasutan dan fitnah serta menjadikan bahasa Iban sebagai bahasa pengantara. “Kebanyakan fakta yang diperdengarkan kepada orang ramai melalui radio itu adalah tidak tepat dan memberi kesan negatif kepada pendengar khususnya di kawasan luar bandar,” jelasnya. Beliau memberitahu, radio itu sengaja memutar belit fakta berkaitan polisi kerajaan, program-program pembangunan kerajaan dan sebagainya. “Ini adalah strategi mereka untuk mendapatkan sokongan rakyat dengan mempergunakan bahasa Iban dan meletakkan se-orang calon Iban untuk bertan-ding di Sibuti kelak,” tegasnya. Sehubungan itu, masyarakat Iban khususnya di kawasan pedalaman disaran menolak pemberian Radio Free Sarawak daripada pembangkang. “Jika pembangkang datang ke rumah-rumah panjang, ma-syarakat Iban perlu menolak mereka secara terang-terangan bagi membuktikan bahawa mereka adalah penyokong setia kerajaan,” jelasnya. Ripin memberitahu, pembangkang akan menggunakan radio terbabit untuk berkempen dan meracuni pemikiran rakyat khususnya di rumah-rumah panjang di luar bandar. “Jangan sesekali menerima radio itu kerana ia hanya mempunyai satu saluran dan kebanyakan fakta yang dikeluarkan dalam radio itu berunsur hasutan,” jelasnya. Sementara itu, Ripin turut menyerahkan baju korporat kepada ketua-ketua masyarakat di kawasan Lambir dan kesemua mereka menerima masing-masing dua pasang baju.
Share this article
Follow