Media & Events

Sekatan lambakan gajet seludup demi keselamatan pengguna

20 Apr 2012, Berita Harian
PENDEDAHAN Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai lambakan peralatan telekomunikasi, terutama telefon bimbit seludup atau 'underwater' yang tidak memenuhi piawaian keselamatan teknikal antarabangsa di negara ini tidak boleh dipandang ringan. Pendedahan itu sepatutnya membuka mata, sekali gus menyedarkan masyarakat serta penguat kuasa agar melakukan tindakan segera bagi menyekat gejala tidak sihat itu. Umum mengetahui telefon bimbit atau gajet komunikasi canggih lain seperti komputer riba dan komputer tablet kini sudah menjadi keperluan dalam kehidupan seharian. Ia bukan lagi lambang kemewahan pengguna. Boleh dikatakan setiap isi rumah di negara ini memiliki lebih daripada satu alat atau gajet komunikasi kerana harganya yang berpatutan dan mampu dimiliki, termasuk pelajar sekolah dan penuntut universiti. Disebabkan permintaannya yang tinggi itu, kedai menjual gajet komunikasi canggih kini tumbuh seperti cendawan terutama di pusat beli-belah di bandar utama seluruh negara. Kewujudan kedai menjual gajet dan aksesori komunikasi ini menjadi satu fenomena kerana ia menjanjikan pulangan tinggi. Keadaan itu memungkinkan alat yang dijual itu diseludup masuk ke negara ini termasuk yang tidak memenuhi piawaian keselamatan ditetapkan dengan tujuan mengaut keuntungan berlipat ganda. Peralatan yang tidak memenuhi piawaian antarabangsa boleh menimbulkan risiko bahaya kepada pengguna seperti meletup atau terbakar ketika digunakan. Kita pernah dikejutkan dengan kejadian seorang pelajar kolej nyaris rentung apabila telefon bimbit yang sedang dicas meletup lalu terbakar dalam kejadian di rumahnya di Kampung Bendang Perang, Jabi, Alor Setar pada 21 Februari 2007. Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi itu, Norhazwani Johari pelajar Kolej Polytech MARA Kuala Lumpur, melecur empat jari dan telapak tangan kanannya. Setahun sebelum itu, pada 28 Januari 2004, bekas penyanyi Kumpulan Olan, Mohamed Radzuan Yasin melecur di pinggang selepas telefon bimbitnya yang sedang dicas tiba-tiba meletup di rumahnya di Kampung Beting, Kuala Pilah. Kedua-dua kejadian ini seharusnya menimbulkan kesedaran di kalangan pengguna untuk mengelak mengguna peralatan komunikasi yang diragui keselamatannya, sama ada yang diseludup atau dijual di bawah paras harga semasa. Sudah sampai masa kita sebagai pengguna, bukan saja perlu bijak dalam membeli gajet telekomunikasi ini, tetapi juga perlu teliti dalam soal keselamatan dan piawaian bagi mengelak kemalangan atau sebarang kejadian tidak diingini berlaku. Dalam hal ini, kementerian dan agensi berkaitan perlu meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan bagi memastikan hanya gajet telekomunikasi memenuhi piawaian keselamatan saja dibawa masuk ke negara ini sebagai langkah melindungi rakyat. Adalah sukar bagi rakyat biasa untuk mengenal pasti mana satu gajet telekomunikasi tulen yang selamat digunakan atau sebaliknya.
Share this article
Follow