Media & Events

Sekolah larang pelajar bawa netbook 1Malaysia takut bil elektrik naik

07 May 2012, The Borneo Post
LUBOK ANTU: Timbalan Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Joseph Salang terkejut dengan tindakan beberapa sekolah di kawasan luar bandar Sarawak yang melarang pelajar membawa netbook 1Malaysia mereka ke sekolah. Katanya, beliau dimaklumkan bahawa sekolah berkenaan tidak mahu pelajar terbabit mengecas semula netbook mereka di sekolah kerana ini akan meningkatkan bil elektrik. “Ini satu berita baharu kepada saya, tetapi malangnya ia bukan berita baik,” katanya semasa merasmikan program sesi rakaman sambutan Gawai Dayak oleh Radio Televisyen Malaysia (RTM) di rumah panjang 57 pintu, Rumah Jubang Bin, di Sebangki Panjai di sini malam kelmarin. “Netbook diberikan kepada pelajar untuk membantu mereka dalam pelajaran. Tetapi jika mereka tidak dibenarkan membawanya ke sekolah, matlamat itu tidak akan tercapai,” katanya. Turut hadir pada program itu ialah Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak dan Pengerusi Telekom Malaysia Datuk Dr Halim Shafie. “Jika pendekatan itu menjadi amalan atau bakal dijadikan peraturan, ini juga merupakan satu kerugian besar di pihak kerajaan. Di pihak saya, saya akan maklumkan perkara ini kepada Kementerian Pelajaran untuk mencari penyelesaian secara baik demi kebaikan pelajar,” katanya Salang. Beliau berkata kerajaan akan mengagihkan lebih banyak netbook kepada pelajar dan pemimpin masyarakat di kawasan luar bandar di seluruh negeri pada bulan ini dalam usaha merapatkan jurang digital di luar bandar. Mengenai permohonan yang disampaikan oleh Nyalau bagi pihak penduduk yang mahu RTM mempertimbangkan menambah durasi penyiaran TVi daripada 15 minit ketika ini kepada 30 minit atau lebih, Salang berkata beliau telah bangkitkan perkara itu kepada Ketua Pengarah Penyiaran Datuk Norhyati Ismail. “Saya dimaklumkan yang penyiaran ini amat popular terutama di kalangan kaum Iban di kawasan luar bandar yang melanggan perkhidmatan Astro. Norhyati memberitahu saya RTM sedang mencari slot untuk berbuat demikian. Apabila RTM bersiaran secara digital sepenuhnya tidak lama lagi, akan ada lebih banyak slot,” katanya. Salang juga menasihati rakyat supaya menyokong hanya calon-calon Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum akan datang, menyatakan hanya kerajaan BN mempunyai wawasan, strategi dan perancangan untuk meningkatkan taraf hidup mereka.
Share this article
Follow