Media & Events

Sektor awam bersedia guna IPv6 menjelang akhir 2013

29 Nov 2012, The Borneo Post

KUALA LUMPUR: Semua sektor awam dijangka bersedia menggunakan sistem alamat Protokol Internet Versi 6 (IPv6) menjelang akhir tahun depan bagi menggantikan alamat Internet IPv4 (versi 4) yang sudah kehabisan.

IPv6 adalah Protokol Internet baharu yang diguna pakai secara global sebagai platform IP baharu, yang direka bagi menyelesaikan masalah IPv4 terutamakekurangan alamat IP.

Ketua Pegawai Kawal Selia dan Pengawasan Industri Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Datuk Jailani Johari berkata persiapan bagi proses pemindahan bermula pada 2004.

Ia termasuk menubuhkan Jawatankuasa Pemantauan Pelaksanaan IPv6 Nasional yang dipengerusikan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan.

Jailani berkata, Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (MAMPU) diberikan peranan untuk memandu dan memantau proses pemindahan oleh agensi-agensi kerajaan manakala SKMM mengetuai sektor-sektor swasta.

“Sektor swasta dijangka berubah sepenuhnya kepada IPv6 menjelang 2015,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Keselamatan IPv6 2012 di University Malaya di sini, semalam.

Seminar itu dianjurkan bagi menangani dan membincangkan isu-isu keselamatan utama yang menghalang pelaksanaan pesat IPv6.

Dalam perkara berkaitan, Johari berkata beberapa pertubuhan tidak berminat dengan idea berpindah kepada IPv6 berikutan kekurangan pemahaman berhubung keselamatan rangkaian.

Bagi menangani masalah ini, beliau berkata SKMM mewujudkan sebuah Pusat Kecemerlangan IPv6 (CoE) yang diketuai Malaysian Technical Standard Forum Berhad bagi memberikan pemahaman dan pelan promosi mengenai IPv6.

“CoE bertanggungjawab bagi pembangunan modal insan, memantau pelaksanaan IPv6, memberikan konsultasi dan juga menjalankan penyelidikan mengenai pembangunan teknologi IPv6,” katanya.

Share this article
Follow