POS Malaysia Berhad (Pos Malaysia) terus bekerjasama dengan Kementerian Pendidikan untuk memupuk kesedaran di kalangan pelajar meminati dan mengumpul setem sebagai tanda cinta pada negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Datuk Mohd Shukrie Mohd Salleh berkata, kerjasama itu melibatkan penyertaan 245 sekolah dari seluruh negara dalam program Oh Memang Gempak (OMG).

Pos Malaysia mewujudkan Kelab Setem di sekolah dan menjadikan ia sebahagian daripada ko-kurikulum sekolah sejak tahun ini.

“Pos Malaysia mahu mendidik pelajar sejarah yang tidak hanya melalui pembacaan buku teks malah boleh mempelajari melalui setemyang dikeluarkan sepanjang tahun dengan tema tertentu berkaitan kenegaraan.

“Mengumpul setem bukan sahaja sebagai, hobi, tetapi dapat membantu mencintai negara," katanya pada sidang media mengenai Pameran Setem FourNation 2015, di Kuala Lumpur, semalam.

Hadir sama, Ketua Bahagian E-Dagang dan Pos Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Mohamad Zaidi Abdul Karim, Ketua Unit Setem dan Filateli Pos Malaysia, Dyana Lean Abdullah dan Presiden Persatuan Filateli Malaysia, Datuk Anuar Bashah Sahore.

Mengulas mengenai pameran itu, Mohd Shukrie berkata, tema pakaian tradisional dipilih pada pameran itu yang akan diadakan pada 4 hingga 6 Disember ini di Dataran Pahlawan, Melaka.

“Keluaran istimewa tersebut didatangkan dalam empat reka bentuk yang menampilkan setiap negara yang mengambil bahagian dalam pameran setem itu iaitu Malaysia, Thailand, Singapura dan Indonesia.

“Setiap pakaian tradisional negara yang menyertai pameran bersulam sejarah tersendiri mencerminkan susur galur dan akar umbi budaya masing-masing, menjadikannya elemen terpenting dalam budaya dan warisan,” katanya.

Beliau berkata, Pos Malaysia memilih baju Melayu, baju kebaya dan baju kurung kerana ia hasil perkembangan gaya dan fesyen yang melalui peredaran masa serta pengaruh berbeza sepanjang zaman.

“Koleksi setem Pakaian Tradisional disertakan produk filateli khas seperti lembaran mini tanpa tebukan dan cap tarikh Pameran Setem FourNation.Cap tarikh hanya boleh didapati di lokasi pameran sahaja.

“Empat setem tersebut dijual pada 60 sen setiap keping. Kita akan keluarkan 200,000 setem Pakaian Tradisional yang dijual di lebih 1,000 saliran di seluruh negara,” katanya.

Pameran FourNation kali pertama diadakan di  Malaysia. Sebelum ini Malaysia menjadi tuan rumah Pameran Setem Tri-Nation pada 2013 di Kuala Lumpur.

Pelbagai aktiviti akan diadakan dan Pos Malaysia menjangkakan lebih 50,000 akan hadir ke pameran tersebut.