Media & Events

Sisa peranti ancam alam sekitar

12 Oct 2016, UTUSAN MALAYSIA

Sejujurnya, berapa ramai antara kita yang ‘rela hati’ mendermakan telefon bimbit yang telah rosak untuk proses kitar semula tanpa mendapat sebarang bayaran sekalipun?

Ditambah pula, peranti mudah alih yang dibeli itu berharga agak mahal iaitu RM1,000 ke atas.

“Jangan kata mahal, yang murah pun belum tentu saya sanggup. Bukan apa, saya merupakan seorang pengumpul benda-benda unik dan telefon bimbit mempunyai keistimewaan tersendiri.

“Misalnya, saya masih lagi menyimpan telefon bimbit jenama Nokia N-Gage dan Nokia 3600 yang sebelum ini sangat popular,” kata Nur Farahin Zakri, 27. Berlainan pula dengan Norehan Ab. Ghani, 30, yang tidak akan mengitarkan semula telefon bimbitnya atas alasan ‘ada nilai sentimental’ pada Nokia e72 dan Sony Z601i yang pernah digunakan sebelum ini.

“Telefon ini banyak berjasa sepanjang menggunakannya dan saya menyimpannya sebagai kenangan,” katanya.

Hakikatnya, bukan sahaja Norehan tetapi penulis sendiri mengakui tidak dapat lari daripada rasa sayang dan elemen sentimental pada telefon bimbit yang digunakan sebelum ini.

Jenama Blackberry Curve 8520, biarpun rosak dan sering kali menimbulkan kemarahan penulis kerana sistemnya asyik bermasalah sahaja, namun masih lagi disimpan kemas di dalam laci sehinggalah saat ini.

Semuanya, kerana rasa ‘sayang’ terhadap peranti berkenaan yang dibeli atas hasil simpanan gaji sedikit demi sedikit sehinggalah mampu memiliki telefon pintar itu.

Akan tetapi, ada juga individu yang tidak kisah mengitar semula telefon bimbit mereka asalkan ada ‘insentif’ atau pulangan tertentu.

Alasan dan pelbagai reaksi diberikan untuk menyimpan atau mengitar semula telefon bimbit. Namun, tahukah anda bahawa sikap sedemikian sebenarnya berisiko membahayakan kesihatan diri, anggota keluarga, masyarakat di samping menyumbang kepada pencemaran alam?

Menurut Ketua Jabatan Pembangunan Teknologi, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), Badaruzzaman Mat Nor, ramai tidak tahu apa yang berlaku kepada telefon bimbit mereka selepas rosak sama ada dengan menyimpannya mahupun membuang ke dalam tong sampah sekali gus bercampur dengan sisa pepejal lain.

“Sedangkan, kaedah pelupusan sebegini adalah tidak mesra alam,” katanya.

Pasti ramai tidak menyangka di sebalik peranti mudah alih yang menjadi rakan paling akrab kita sebenarnya boleh menjadi ‘musuh’ apabila pelupusannya tidak diuruskan secara lestari.

Ini kerana bahan pembuatan e-sisa mudah alih mahupun mana-mana perkakas elektrik tidak boleh terurai secara semula jadi sekali gus sangat berbahaya kerana ia mengandungi komponen bertoksik.

Antaranya, plumbum yang boleh merosakkan sistem saraf dan buah pinggang individu manakala merkuri mampu mengakibatkan kerosakan kulit serta menyebabkan masalah insomnia.

“Kajian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan United Nations University (UNU) berkenaan “E-sisa dan Implikasi Kesihatan Terhadap Kanak-kanak” mendapati pelbagai penyakit dikaitkan dengan pendedahan kepada e-sisa seperti kanser dan masalah pernafasan,” katanya.

Bayangkan, apa akan berlaku kepada anak anda sekiranya e-sisa mudah alih yang rosak disimpan dalam laci dan almari berlaku kebocoran bahan kimia contohnya daripada bateri?

Mereka pula mungkin tersentuh kandungan toksik berkenaan sekali gus membahayakan kanak-kanak ini apabila menjamah makanan. Pastinya, kita tidak mahu perkara sedemikian terjadi kepada mereka dan disebabkan itulah sudah tiba masanya semua pihak mengambil berat akan isu ini.

Apatah lagi, saban masa ada sahaja berlakunya transaksi pembelian peranti mudah alih sekali gus menambah lagi jumlah penggunaan telefon bimbit di negara ini.

Dengan pelbagai jenama, harga mahupun kecanggihan telefon pintar yang mempunyai ratusan fungsi, semuanya ada di depan mata hasil pembangunan industri komunikasi dan multimedia sejak pengenalan jalur lebar mudah alih pada 2009.

Statistik daripada SIRIM QAS International Sdn Bhd mendapati sebanyak 65.7 juta unit telefon bimbit telah didaftarkan di negara ini antara tahun 2009 sehingga 2014.

Bagaimanapun, Badaruzzaman berkata kebanyakan perkakas elektronik pada masa ini tidak mempunyai jangka hayat lama.

Kajian Agensi Perlindungan Alam Sekitar Amerika Syarikat (US Environmental Protection Agency) menganggarkan jangka hayat seunit telefon bimbit adalah dari 18 hingga 24 bulan.

“Jadi, ke mana perginya 65.7 juta unit telefon bimbit yang dibeli pada tempoh berkenaan kerana kalau diambil kira pada waktu ini ia sudah dianggap e-sisa. Itu tidak termasuk lagi bilangan telefon bimbit yang dibawa masuk ke negara ini tanpa rekod sah,” katanya.

Menurut laman sesawang Jabatan Alam Sekitar, kebanyakan e-sisa daripada isi rumah termasuklah telefon bimbit akan dikutip oleh pembeli, badan bukan kerajaan (NGO) atau pengumpul untuk dikitar semula.

Nampak positif, tetapi hakikatnya proses kitar semula yang dilakukan adalah tidak lestari. Mereka membakarnya untuk mendapatkan logam berharga daripada wayar-wayar perkakas elektrik sekali gus menyebabkan pencemaran udara.

Komponen tidak berharga dibuang secara haram ke tapak pelupusan. Longgokan e-sisa bersama dengan sisa pepejal lain di tapak berkenaan akan menyebabkan bahan-bahan pencemar yang terkandung di dalamnya melarut resap di tapak pelupusan sekali gus mencemarkan air permukaan serta tanah.

Ini sesuatu yang amat menakutkan, kerana ketika ini kita hanya mempunyai 14 buah tapak pelupusan sanitari daripada 161 tapak yang ada berdasarkan data Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp).

Tapak pelupusan tidak sanitari akan mengakibatkan pencemaran kerana ia tidak dilengkapi kemudahan seperti sel yang dilitupi dengan ‘liner’ dan loji rawatan air larut resap (leachate).

“Di Guiyu, China sering dikenali sebagai ‘Ibu Negara e-Sisa Dunia’. Kajian mendapati, 82 peratus kanak-kanak di daerah itu mempunyai masalah pernafasan dan berisiko tinggi terhadap keracunan plumbum disebabkan kitar semula tidak lestari,” katanya.

Selain Guiyu, Agbogbloshie di Ghana juga berdepan dengan pencemaran e-sisa.

Share this article
Follow