Media & Events

SKMM, PDRM diminta siasat

18 Jan 2013, Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 17 Jan. - Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan telah meminta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk menyiasat serta mengambil tindakan segera terhadap Patrick Teoh (gambar) yang didakwa menghina agama Islam.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, kenyataan menghina agama Islam seperti yang dilakukan Patrick menerusi laman sosial Facebook miliknya adalah seolah-olah beliau menulis dan mengucapkannya, yang jelas sekali bertentangan dengan amalan di negara ini.

Kata beliau, sekiranya didapati bersalah, SKMM bersedia mengambil tindakan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia terhadap pelakon berkenaan.

Tambah Rais, Patrick juga boleh dikenakan tindakan di bawah akta kesalahan syariah berikutan kenyataannya yang disifatkan beliau sebagai memperkecilkan agama Islam dan berbentuk hasutan.


Share this article
Follow