Media & Events

SKMM, Pengakap Jalin Kerjasama Perluas Program 'Klik Dengan Bijak'

07 Nov 2013, Bernama
MELAKA, 7 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan menjalin kerjasama lebih erat dengan Persekutuan Pengakap Malaysia (PPM) dalam memperluas program 'Klik Dengan Bijak" khususnya terhadap generasi Y.

Pengerusinya Datuk Sharil Tarmizi berkata pengakap dilihat mampu menjadi medium penyampaian maklumat khususnya kepada golongan remaja mengenai penggunaan Internet secara berhemah.

"Peranan pengakap amat penting dalam meningkatkan tahap kefahaman terutamanya anak muda kerana golongan ini berhubung sesama sendiri dan mereka akan lebih faham apa yang kawan mereka beritahu seterusnya membuat pilihan yang baik apabila menggunakan Internet," katanya kepada pemberita selepas majlis penutup Perkhemahan Klik dengan Bijak yang dirasmikan Exco Hal Ehwal Syarikat, Sumber Manusia dan NGO Melaka Datuk M S Mahadevan, di Bukit Katil di sini.

Turut hadir, Ketua Pesuruhjaya Pengakap Malaysia Datuk Dr Mohamed Shahrum Osman bersama kira-kira 880 anggota pengakap dari seluruh negara yang mengikuti perkhemahan selama lima hari bermula 3 Nov lepas.

Justeru, katanya program perkhemahan anjuran bersama SKMM dan PPM itu akan diadakan secara berterusan pada masa akan datang.

Sementara itu, Sharil berkata SKMM turut bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat; Kementerian Pendidikan; Kementerian Belia dan Sukan; Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi; Polis Diraja Malaysia dan Forum Kandungan Komunikasi dan Multimedia (CMCF) bagi menjayakan kempen 'Klik Dengan Bijak' itu.

Beliau berkata penglibatan setiap agensi dan jabatan adalah penting agar mesej yang ingin disampaikan dapat disebar luas kepada semua pihak yang menggunakan Internet.

Program Klik dengan Bijak bertujuan membudayakan penggunaan Internet secara positif berteraskan tiga aspek iaitu keselamatan, kewaspadaan dan tanggungjawab yang menitikberatkan kawal selia kendiri dalam membendung masalah penyalahgunaan Internet.
Share this article
Follow