Media & Events

SKMM, Telco Diminta Cari Kaedah Sekat Khidmat SMS Tidak Diperlukan Pengguna - Rais

10 Apr 2012, The Star
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan syarikat telekomunikasi (Telco) diminta mencari satu kaedah terbaik bagi menangani penyebaran maklumat yang tidak diperlukan kepada pengguna menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS). Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim berkata kedua-dua pihak itu diberikan masa dua bulan untuk mereka mencari penyelesaian terbaik selain daripada mengenakan tindakan undang-undang. "Kita tidak mahu pornografi terselindung, permainan terselindung dalam SMS (yang dihantar). Kita telah melihat begitu banyak SMS sedemikian yang tidak sepatutnya dihantar ke telefon kita. "Kita boleh lakukan ini (ambil tindakan) mengikut undang-undang tetapi kita lebih suka jika Telco dan SKMM buat kerja mereka," katanya kepada pemberita selepas melancar Kempen Tanda Tangan 10 Juta di sini, Isnin. Terdahulu, dalam ucapannya Dr Rais mahu Persatuan Pemilik Telefon Bimbit (Perbit) aktif dalam memperjuangkan hak pengguna selain memastikan rakyat mendapat perkhidmatan munasabah dan berpatutan mengikut nilai kos kewangan mereka. "Telefon itu hak kita dan mesej yang kita terima itu, kita yang menentukan. Tetapi dalam banyak hal (sekarang ini) orang lain yang tentukan (kandungan mesej yang diterima)," katanya. Sementara itu, Presiden Perbit Mohd Ali Ibrahim berkata penubuhan persatuan itu adalah untuk membolehkan mereka menerima aduan berhubung penggunaan telefon bimbit. Berikutan itu, persatuan akan membuka kiosk di pusat-pusat beli-belah bagi membolehkan orang ramai membuat aduan berhubung perkhidmatan telefon bimbit.
Share this article
Follow