Media & Events

SKMM akan terus laksana projek pembangunan infrastruktur ICT

13 Sep 2012, New Sabah Times

KOTA KINABALU: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) akan terus melaksanakan projek pembangunan infrastruktur teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) di negeri ini bagi melahirkan masyarakat celik teknologi maklumat (IT).

Pengarah SKMM Wilayah Sabah dan Labuan Bukhari Yahya berkata, ia bagi memastikan semua lapisan masyarakat di negeri ini menikmati kemudahan ICT.

Beliau berkata bagi melengkapkan usaha kerajaan menggalakkan penggunaan ICT kepada semua lapisan masyarakat, badan bukan kerajaan (NGO) dan mereka berpengetahuan ICT perlu menjadi duta.

“Semua pihak harus berkongsi maklumat dan membantu SKMM agar kemudahan ICT difahami dan dimanfaatkan sepenuhnya terutama oleh masyarakat luar bandar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Taklimat ICT dan Keselamatan di Promenade Hotel, di sini, pada malam Selesa.

Turut hadir Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) Sabah, Abdul Manap Lakariba.

Bukhari berkata kerajaan juga sentiasa agresif dari semasa ke semasa untuk meningkatkan penembusan jalur lebar ke seluruh negeri dan mengurangkan jurang digital antara bandar dan luar bandar.

Beliau turut mengingatkan masyarakat terutamanya generasi muda supaya tidak menyalahgunakan kemudahan ICT seperti laman sosial facebook dan tweeter untuk tujuan mengaibkan orang lain.

“Mangsa daripada perbuatan itu tidak akan berdiam diri dan apabila diaibkan, mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap si pelaku,” katanya.

Pada taklimat itu, dua kertas kerja dibentangkan iaitu berkaitan Keselamatan ICT dan Ancaman Media Sosial.

Share this article
Follow