Media & Events

SKMM arah Celco bangunkan sistem pencegahan sebelum hujung bulan

06 Sep 2007, Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 6 Sept — Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengarahkan semua pembekal perkhidmatan selular (Celco), membangunkan “sistem pencegahan” bagi mengesan serta mencegah aktiviti “spamming” dan “spoofing” secara automatik, sebelum hujung bulan ini. Menterinya, Datuk Seri Dr Lim Keng Yaik berkata, sistem itu akan berupaya menyekat aktiviti spamming dan spoofing itu, yang biasanya sengaja dibuat oleh syarikat-syarikat tertentu dengan tujuan untuk mengenakan caj kepada pelanggan. Beliau berkata, dalam kegiatan spamming, pelanggan dikenakan caj untuk kandungan sistem pesanan ringkas (SMS) yang tidak diminta atau dilanggan yang dihantar secara rambang oleh pembekal perkhidmatan kandungan (CP). “Manakala spoofing pula ialah pewujudan permintaan yang palsu oleh CP, seolah-olah perkhidmatan kandungan itu dipohon oleh pengguna,” katanya menjawab soalan Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Timur) pada Persidangan Dewan Rakyat di sini hari ini. Beliau berkata, kegiatan ini merupakan satu kesalahan mengikut Garis Panduan Industri Mengenai Langganan Perkhidmatan Kandungan Bergerak. Sehingga Julai lalu, SKMM dan Forum Pengguna menerima 176 aduan, dengan 23 daripada kes itu disabitkan mengikut Garis Panduan berkenaan dan CP terbabit dikenakan tindakan penggantungan kod ringkas. “Sembilan syarikat CP juga dikenakan kompaun di bawah seksyen 242 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan syarikat terbabit turut disenaraikan dalam laman web SKMM,” katanya. Selain membangunkan sistem pencegahan itu, Lim berkata, SKMM juga mengarahkan supaya semua Celco menyediakan sistem penyemakan bil atau akaun bagi pengguna perkhidmatan prabayar secara on-line. “Ini akan membolehkan pengguna prabayar meneliti akaun perkhidmatan prabayar bagi menyemak penggunaan dan caj yang dikenakan. SKMM juga mengadakan kempen kesedaran awam secara berterusan melalui laman web, seminar dan brosur,” katanya. Menurutnya, pengguna juga boleh membuat aduan terus kepada Biro Aduan, SKMM menerusi talian 1 800 888 030 atau faks kepada 03-86881003.-Bernama
Share this article
Follow