Media & Events

SKMM bantu usahawan mikro

30 Jul 2013, Sinar Harian
SKMM bantu usahawan mikro


SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) komited dalam usaha membantu usahawan mikro dengan memperuntukkan RM50 juta bagi membantu 50,000 usahawan mikro menerusi program Get Malaysia Business Online (GMBO) berakhir Disember ini.

Ketua Jabatan Sekretariat Perancangan dan Koordinasi SKMM, Azizan Mohd Afandi berkata, program GMBO ini adalah salah satu inisiatif Perdana Menteri, Datuk Sri Najib Tun Razak untuk menggalakkan usahawan kecil tempatan memperkembangkan perniagaan menggunakan perkhidmatan atas talian.

“SKMM akan menyediakan geran RM1,000 setiap seorang kepada 50,000 usahawan yang menggunakan perniagaan dalam talian.

“Mereka hanya perlu membangunkan laman sesawang dengan menggunakan domain dot Malaysia serta beberapa lagi syarat mudah yang harus dipatuhi oleh usahawan yang berminat untuk menyertai program ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, penggunaan perniagaan atas talian dapat meningkatkan perniagaan ke peringkat yang lebih baik, sekali gus melebarkan pasaran sehingga ke luar negara.

Katanya, kajian yang dilakukan menunjukkan dengan internat perniagaan dapat meningkatkan produktiviti 10 peratus dan jualan serta hasil dua kali ganda.

Mengulas berhubung keuntungan perniagaan melalui internat, Azizan berkata, unjuran untuk e-dagangan sangat besar.

“Pada 2010 hingga 2011 hampir dua bilion jumlah dagangan telah dicatatkan dan turut peningkatan pada tahun lalu kepada tiga bilion,“ katanya.

Azizan berkata, GMBO dilancarkan pada 1 Januari lalu mendapat sambutan baik di kalangan usahawan tempatan. Setakat enam bulan pertama tahun ini, 3,000 permohonan telah diluluskan daripada 9,000 permohonan yang diterima, manakala selebihnya sedang dalam proses semakan.

Katanya, SKMM berharap selepas ini akan lebih ramai lagi usahawan tampil memohon dan menyertai program ini.

“Daripada RM50 juta diperuntukkan, RM3 juta telah kami salurkan kepada usahawan yang berjaya,” katanya.

Sejak dilancarkan, SKMM telah membantu pengusaha rumpai laut di Kunak, Sabah menjana pendapatan RM20,000 sebulan berbanding RM450 sebulan sebelum ini dan pengusaha bantal kekabu dari Sik, Kedah, dengan meningkatkan hasil jualan daripada 100 bantal kekabu kepada 100,000 dengan pendapatan purata RM80,000 sebulan.


Share this article
Follow