Media & Events

SKMM bina 365 pencawang di Pantai Timur

12 Nov 2013, Utusan Malaysia

MARAN 12 Nov. - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) telah membina 365 menara pencawang komunikasi di negeri-negeri Pantai Timur hingga akhir bulan lalu.

Pengarah SKMM Wilayah Timur, Nor Azhar Hasan berkata, pencawang tersebut amat penting bagi mengukuhkan liputan telekomunikasi dan perkhidmatan capaian internet jalur lebar tanpa wayar (WiFi).

Menurutnya, di negeri ini sahaja sebanyak 138 pencawang telah beroperasi daripada 207 yang dirancang manakala selebihnya iaitu 69 pencawang lagi dalam proses pembinaan.

"SKMM dan syarikat telekomunikasi sentiasa berusaha dalam membina tapak pemancar di merata tempat strategik di seluruh negara demi kebaikan pengguna.

"Penambahan bilangan menara pencawang secara langsung dapat meningkatkan liputan capaian internet selari dengan perkhidmatan Kampung Tanpa Wayar dan Pusat Internet 1Malaysia (PI1M)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas program Hari Bersama PI1M Kampung Chenor yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia negeri, Datuk Shahaniza Shamsuddin di sini kelmarin.

Nor Azhar berkata, pusat itu merupakan satu program dalam menyediakan capaian internet jalur lebar secara menyeluruh di negeri ini.

Jelasnya, terdapat 58 PI1M di Pahang termasuk lima di Parlimen Maran iaitu Kampung Chenor, Kampung Awah, Felda Jengka 2, Felda Jengka 3 dan Kampung Luit.

"Ini dapat mendidik rakyat daripada semua golongan menguasai dan celik internet bagi tujuan menjana kehidupan lebih baik," ujarnya.

Katanya, mereka yang mampu menguasai internet dapat mengakses pelbagai perkara seperti memperolehi sesuatu maklumat, melakukan promosi dalam urus niaga tertentu, pembayaran bil dan sebagainya.

"Bagaimanapun pengguna perlu bijak mengawal diri tanpa terperangkap penyebar fitnah, pujuk rayu, judi internet dan sebagainya,'' katanya.

Share this article
Follow