Media & Events

SKMM cadang teruskan pelan ‘buka’ sambungan akhir

08 Dec 2003, Hizral Tazzif Hisham, Berita Harian
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bercadang meneruskan pelan untuk membuka sambungan akhir (last mile connection) dengan menyenaraikan Capaian kepada Elemen Sistem Rangkaian (ANE) dalam Senarai Penentuan Capaian, ini bermakna sambungan akhir yang selama ini didominasi oleh sebuah syarikat akan dibuka kepada pemain lain. SKMM dalam laporan bertajuk ‘Public Consultation Paper on Effective Competition in The Access Network’ berkata, rancangan menjadikan ANE sebagai mandatori akan meletakkan prasarana loop tempatan dalam senarai berkenaan dan ini secara tidak langsung menyebabkan pemilik utama loop berkenaan, iaitu Telekom Malaysia Berhad (Telekom Malaysia), terpaksa membuka sambungan akhir untuk syarikat yang berminat menawarkan perkhidmatan terbabit. “Rancangan membuka sambungan akhir bertujuan menggalakkan lagi penggunaan perkhidmatan jalur lebar dan perkhidmatan aplikasi termaju. Ia juga dapat menggalakkan pertumbuhan industri komunikasi dan multimedia tempatan dengan meningkatkan jumlah syarikat yang terbabit dalam menawarkan perkhidmatan bermutu kepada pelanggan,” katanya. SKMM menerbitkan laporan berkenaan yang boleh didapati pada laman web www.mcmc.gov.my dan pengguna boleh memindah turun laporan terbabit. Ketika ini, loop tempatan digunakan untuk menyambungkan 4.5 juta pelanggan talian tetap, 2.5 juta talian dail dan 70,000 perkhidmatan jalur lebar. “Adalah amat penting untuk kerajaan menyediakan dorongan tambahan kepada industri komunikasi dan multimedia tempatan untuk memastikan ia dapat berkembang dengan sewajarnya,” katanya. Dalam laporan itu, SKMM berkata hampir keseluruhan syarikat telekomunikasi di negara ini bersetuju dengan rancangan berkenaan untuk membuka sambungan terakhir kepada syarikat yang berminat untuk menawarkan perkhidmatan mereka. “Bagaimanapun, seperti dijangka sejak awal lagi, Telekom Malaysia akan memberikan bantahan kepada rancangan berkenaan,” katanya. Antara komen yang dinyatakan Telekom Malaysia ialah SKMM tidak menyediakan justifikasi sewajarnya untuk membolehkan sambungan akhir dibuka kepada syarikat lain dan tiada bukti konkrit penerimaan Internet dan perkhidmatan jalur lebar di negara ini adalah terkebelakang berbanding negara lain di rantau ini. Telekom Malaysia juga mendakwa dengan membenarkan proses berkenaan ia dapat menggagalkan usaha untuk mengurangkan jurang digital antara bandar dan kampung di samping hanya memberi tumpuan kepada pengguna di bandar. Dalam jawapannya kepada dakwaan Telekom Malaysia, SKMM berkata, adalah tidak benar penggunaan internet dan perkhidmatan jalur lebar di negara ini adalah tinggi kerana statistik yang disediakan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) menunjukkan kadar penembusan jalur lebar di Malaysia adalah satu peratus daripada jumlah penduduk negara berbanding Singapura (5.5 peratus), Taiwan (9.4 peratus) dan Hong Kong (14.6 peratus). SKMM berkata, cabaran terbesar kepada syarikat peneraju telekomunikasi di negara ini ialah pertukaran pandangan yang mereka kini perlu melayani pesaing mereka sebagai pelanggan dan bersaing secara sihat untuk mewujudkan inovasi dan pilihan kepada pelanggan.
Share this article
Follow