Media & Events

SKMM Keluarkan 15 Kompaun Kepada Syarikat Telekomunikasi, Pembekal Perkhidmatan Dan MVNO

05 Apr 2016

PUTRAJAYA, 5 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengeluarkan 15 kompaun bernilai RM510,000 kepada enam syarikat telekomunikasi, sebuah syarikat pembekal perkhidmatan dan sebuah rangkaian maya mudah alih (MVNO), setakat suku pertama tahun ini.

Menurut SKMM dalam kenyataan hari ini, tindakan itu diambil kerana syarikat tersebut gagal mematuhi Standard Mandatori bagi kualiti perkhidmatan dan pendaftaran palsu kad sim prabayar.

Katanya dua kompaun telah dikeluarkan kepada Asian Broadcasting Network Sdn Bhd (ABN) berjumlah RM20,000 dengan setiap kompaun bernilai RM10,000 kerana tidak mematuhi Standard Mandatori bagi kualiti perkhidmatan.

Selain itu, katanya TT dotcom Sdn Bhd, Digi Telecommunications Sdn Bhd, Net2One Sdn Bhd dan Celcom Axiata Bhd masing-masing satu kompaun berjumlah RM10,000.

Bagi pendaftaran palsu kad sim prabayar, SKMM berkata empat kompaun telah dikeluarkan kepada Digi Telecommunications Sdn Bhd berjumlah RM200,000, Tune Talk Sdn Bhd (dua kompaun berjumlah RM100,000), Merchantrade Asia Sdn Bhd (dua kompaun berjumlah RM100,000) dan XOX Com Sdn Bhd (satu kompaun berjumlah RM50,000).

Share this article
Follow