Media & Events

SKMM kenalpasti kawasan perlu penambahbaikan jalur lebar

26 Apr 2019, BERNAMA
LANGKAWI, 26 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah mengenalpasti kawasan yang memiliki impak ekonomi tinggi dan memerlukan penambahbaikan jalur lebar berkelajuan tinggi dengan kemudahan teknologi gentian optik.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Eddin Syazlee Shith berkata kawasan yang dikenalpasti itu tidak 'designated' sebelum ini seterusnya menyukarkan kerajaan untuk menggunakan dana program pembangunan jalur lebar iaitu Program Perkhidmatan Sejagat (USP).

"Masalah sekarang ada kawasan yang tidak didesignated untuk menggunakan dana USP tersebut, jadi menerusi Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP) kerajaan akan memulihkan masalah itu.

"Jadi lebih banyak peruntukan menerusi dana USP boleh digunakan untuk bangunkan kawasan-kawasan yang dahulunya tidak didesignated dengan kemudahan teknologi gentian optik ini," katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Pelancaran Program Jom Suluh Sotong 2019 di sini malam ini.

Ketika diminta memperincikan kriteria pemilihan kawasan, Eddin berkata kawasan yang dipilih perlu memiliki impak ekonomi tinggi.

"SKMM sudah memiliki senarai kawasan terlibat, saya beri contoh begini, contohnya di Negeri Sembilan, Seremban dikenalpasti kawasan mempunyai kesan impak ekonomi tinggi namun begitu bukan semua lokasi dimasukkan dalam pelan penambaikan tersebut.

“Apa yang pasti kerajaan akan membangunakan secara adil dan saksama," katanya.
Share this article
Follow