Media & Events

SKMM Komited Capai Sasaran 95 Peratus Liputan Jalur Lebar Menjelang 2020

26 Apr 2016

KUALA LUMPUR, 26 April (Bernama) -- Kementerian Komunikasi dan Multimedia melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) merangka pelbagai perancangan dalam usaha mencapai sasaran 95 peratus liputan jalur lebar menjelang 2020.

Timbalan menteri berkenaan Datuk Jailani Johari berkata buat masa ini, SKMM dan pihak swasta mula melaksanakan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi Fasa 2 (HSBB2) dan Projek Jalur Lebar Pinggir Bandar (SUBB) bagi menyediakan perkhidmatan jalur lebar lebih berkualiti di seluruh negara.

"Sejumlah RM4.4 juga nilai kontrak diberikan Telekom Malaysia (TM) untuk Projek Jalur Lebar Fasa 2 bagi kerja-kerja pembekalan yang bersesuaian kepada syarikat tempatan sehingga Mac tahun ini.

"Sejumlah RM4.1 juta diberikan bagi pembelian peralatan telekomunikasi daripada syarikat luar negara," katanya ketika menggulung usul menjunjung kasih titah ucapan Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Negara hari ini.

Menurutnya penawaran kontrak pembekalan yang dikeluarkan oleh pihak TM adalah menyeluruh dan ia diagihkan secara adil kepada syarikat tempatan dan syarikat luar negara.

Mengenai isu pemberian kontrak pembekalan kepada syarikat besar antarabangsa seperti Huawei, Jailani menjelaskan ia dibuat kerana pada masa ini, tiada syarikat tempatan yang memiliki dan mengeluarkan peralatan telekomunikasi berteknologi tinggi dan sesuai dengan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi seperti yang ditawarkan TM kepada pengguna perkhidmatannya di negara ini.

Dalam pada itu, beliau berkata sehingga kini, terdapat sejumlah 3,148 Wifi Komuniti (WK) yang beroperasi dan 1,761 WK masih dalam peringkat pelaksanaan di seluruh negara.

WK merupakan inisiatif bersifat sementara dan bertujuan membantu rakyat luar bandar mendapatkan akses kepada internet secara kolektif dan setempat sementara pembangunan insfrastrukturnya yang membolehkan internet diakses secara menyeluruh, dibina.

"Projek ini akan ditamatkan sebaik sahaja akses internet dapat dicapai dengan lebih baik dan menyeluruh oleh penduduk," katanya.

Persidangan Dewan Negara bersambung esok.

Share this article
Follow