Media & Events

SKMM Kompaun 12 Syarikat Sebanyak RM260,000

08 Feb 2013, MStar

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengkompaun 12 syarikat, dengan jumlah terkumpul sebanyak RM260,000, kerana melanggar syarat-syarat lesen mereka pada Khamis.

SKMM berkata syarikat-syarikat berkenaan gagal mematuhi syarat standard mandatori bagi Perkhidmatan Kandungan Mudah Alih walaupun telah diberi amaran untuk memperbaiki kualiti perkhidmatan termasuk isu berkenaan panggilan terputus atau "dropped call" dan mesej promosi khidmat pesanan ringkas.

"Kegagalan mematuhi syarat Standard Mandatori bagi Perkhidmatan Kandungan Mudah Alih adalah melanggar syarat-syarat lesen SKMM iaitu perkara 2.2 syarat-syarat standard Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi (ASP(C))," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Kata SKMM perlanggaran syarat-syarat berkenaan boleh didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali. 

Share this article
Follow