Media & Events

SKMM nasihat pengguna patuhi peraturan guna radio komunikasi

02 Feb 2012, New Sabah Times
SEMPORNA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menasihatkan pengguna dan pembekal peralatan Penguntukan Radas atau lebih dikenali radio komunikasi untuk perkhidmatan maritim dan rangkaian persendirian supaya mematuhi peraturan dan piawaian berkaitan kemudahan itu. Pengarah SKMM Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan Bukhari Yahya berkata pematuhan peraturan sepertimana ditetapkan Kementerian Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan perlu bagi mengelak sebarang masalah kepada pengguna sendiri dan gangguan kepada pengguna lain. Menggunakan peralatan Penguntukan Radas yang tidak mengikut piawaian Sirim adalah menyalahi undang-undang dan boleh dikenakan tindakan, katanya kepada pemberita selepas merasmikan Seminar Kesedaran Penggunaan Frekuensi Maritim dan Rangkaian Persendirian anjuran SKMM Sandakan, yang disertai nelayan dan pengusaha pelancongan di sini kelmarin. Menurut Bukhari apabila berlaku sebarang gangguan, ia boleh menimbulkan kesukaran dalam membuat panggilan atau isyarat yang dihantar tidak sampai atau tidak jelas sehingga menimbulkan kesukaran terutama pada masa-masa kecemasan. Katanya penggunaan peralatan dan frekuensi yang tidak sah juga boleh menyebabkan percakapan atau isyarat yang dihantar boleh didengar pihak tidak berkaitan. “Penguntukan Radas mempunyai frekuensi yang diberikan kepada pengguna terutama untuk rangkaian persendirian…kita menekankan kepada nelayan supaya menggunakan set radio yang sah. “Frekuensi atau set radio yang sah itu mematuhi piawaian ditetapkan SKMM melalui agensi piawaian kita iaitu Sirim…Kita tidak mahu mereka sewenang-wenangnya menggunakan radio yang kita tidak tahu asal usulnya semata-mata untuk berkomunikasi,” katanya. Bukhari berkata seminar itu yang julung kali diadakan di negeri ini akan turut diadakan di Tawau dan Kota Kinabalu.
Share this article
Follow