Media & Events

SKMM: Perkhidmatan Dengan API Bantu Kukuhkan Ekonomi E-Dagang

11 Apr 2016
KUALA LUMPUR, 8 April (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menggalakkan penggiat industri, termasuk pengendali perkhidmatan pos dan kurier utama, untuk menyokong keperluan komuniti e-dagang dengan mengeluarkan Antarmuka Pemprograman Aplikasi (API) mereka.

Ketua Pegawai Komunikasi Digital Services and Standards, Datuk Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata, perkhidmatan dengan API boleh membantu meningkatkan pengalaman peniaga dan pengguna untuk kaedah lebih fleksibel menghantar data pelaksanaan masa nyata.

"Dengan lebih banyak API boleh diperoleh, ekonomi e-dagang akan mengukuhkan lagi, malah tumbuh lebih cepat kerana lebih ramai peniaga dan pengguna menggunakan platform pelaksanaan e-dagang anda.

"SKMM akan bekerjasama rapat dengan industri perkhidmatan pos dan kurier bagi memastikan kita mempunyai kumpulan bakat dan kapasiti dalam bidang strategik ini," katanya pada majlis pelancaran ezyCourier Malaysia (ezyCourier) Pusat Pameran MidValley, di sini hari ini.

Menurutnya, Malaysia ini berada pada titik infleksi pertumbuhan e-dagang dengan jualan runcit dalam talian pada kira-kira satu peratus berbanding 7.8 peratus di Eropah, China (7.2 peratus) dan Amerika Syarikat (5.8 peratus).

Mohd Ali berkata, dengan potensi pertumbuhan itu, Malaysia memerlukan lima kali ganda lebih kapasiti pemprosesan pos dan kurier serta penghantaran, daripada apa yang dimiliki negara sekarang menjelang 2020.

Katanya, penggiat industri baharu seperti ezyCourier adalah satu transformasi daripada perkhidmatan kurier konvensional yang boleh memenuhi permintaan dan keperluan pengguna yang semakin meningkat dalam industri e-dagang.

ezyCourier adalah perkhidmatan kurier melalui penggunaan aplikasi mudah alih pada kos rendah dan yang ke-101 yang diberikan lesen kurier oleh SKMM.
Share this article
Follow