Media & Events

SKMM Sediakan Kemudahan WiFi Di 466 Lokasi Di Pahang

19 Nov 2013, Bernama
KUANTAN, 19 Nov (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyediakan kemudahan WiFi percuma atau Kampung Tanpa Wayar (KTW) di 466 lokasi di Pahang bermula 2011 hingga 31 Mei lepas.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita dan Keluarga, Komunikasi dan Multimedia Negeri Datuk Shahaniza Shamsuddin berkata projek KTW merupakan satu daripada projek di bawah Inisiatif Jalur Lebar Nasional bagi membekalkan kemudahan Internet kepada golongan berpendapatan rendah di kawasan luar bandar.

"Lokasi yang mempunyai kemudahan KTW ialah Kuantan (48), Pekan (58), Rompin (42), Maran (60), Bera (34), Temerloh (48), Bentong (42), Raub (25), Cameron Highlands (tiga), Lipis (50) dan Jerantut (56)," katanya.

Shahaniza berkata demikian ketika menjawab soalan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (DAP-Mentakab) pada persidangan Dewan Undangan Negeri Pahang ke-13 di Wisma Sri Pahang di sini Selasa.

Tengku Zulpuri ingin tahu sama ada kerajaan negeri akan memberikan khidmat Wifi percuma kepada penduduk di kawasan pedalaman.

Shahaniza berkata SKMM akan meneruskan pelaksanaan program itu ekoran terdapat banyak lagi kawasan luar bandar yang memerlukan kemudahan berkenaan.

"Tiada jangka masa yang spesifik tentang pelaksanaan program ini malah jumlah lokasi akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut fasa pelaksanaan yang ditetapkan," katanya.

Persidangan bersambung esok.
Share this article
Follow