Media & Events

SKMM Sediakan Panduan Bidang Elektromagnet Dalam Versi Bahasa Malaysia

22 Apr 2016

KUALA LUMPUR, 22 April (Bernama) -- Versi Bahasa Malaysia bagi panduan Bidang Elektromagnet (EMF) Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) kini boleh didapati dan dimuat turun dari laman web Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata panduan ITU EMF itu merupakan aplikasi yang menyediakan panduan kawal selia, amalan terbaik dan maklumat mengenai pengurusan EMF kepada orang ramai dalam bentuk yang mudah difahami.

Beliau berkata panduan itu adalah satu daripada kaedah SKMM untuk menyampaikan maklumat yang tepat tentang pengeluaran EMF.

"Sekarang, ramai yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang EMF. Di SKMM, kita wujudkan satu laman sesawang di dalam Bahasa Malaysia bagi memudahkan orang ramai (mendapatkan maklumat tentang EMF).

"Sering kali, orang ramai bertanya tentang kesan radiasi jika menggunakan telefon selular buat jangka masa yang lama. Jadi, dengan adanya laman sesawang ini, ia dapat memperjelas dari segi kebaikan dan kesan akibat EMF," katanya kepada pemberita selepas melancarkan ITU EMF pada perasmian Simposium Mengenai ICT, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim ITU Ke-11 di sini.

Sambil menggalakkan orang ramai mendapatkan maklumat mengenai EMF, beliau menjelaskan bahawa beberapa kajian dan ujian yang dijalankan menunjukkan tahap radiasi yang dikesan semasa menggunakan telefon selular adalah rendah.

Sementara itu, Ketua Pegawai bagi Sektor Ekosistem Digital SKMM Mohd Ali Hanafiah Mohd Yunus berkata suruhanjaya itu amat menitikberatkan tentang EMF dan telah melibatkan semua pihak berkepentingan dan pakar dalam bidang pengeluaran EMF.

"Panduan ini akan membolehkan kami menangani persepsi orang ramai tentang pengeluaran EMF," katanya.

Mengenai simposium itu, Jailani berkata ia merupakan platform bagi para peserta berkongsi pengalaman dan mempelajari dasar serta pendirian dalam menangani cabaran perubahan iklim yang berkaitan dengan ITU.

"Sebarang strategi pengurangan yang dibangunkan haruslah dapat mengurangkan penggunaan tenaga, menggalakkan perkhidmatan dalam talian dan e-bayaran serta mewujudkan sistem pemantauan," katanya.

Selain itu, kerajaan menerusi SKMM memperuntuk geran kewangan RM1 bilion kepada Malaysian Technical Standards Forum Berhad (MTSFB), sebuah forum industri di bawah SKMM bagi menggalakkan projek berkaitan dengan inisiatif ICT hijau.

Simposium lapan hari itu, yang julung kalinya diadakan di Kuala Lumpur, disertai 100 peserta dari 30 negara termasuk Malaysia yang berkongsi kepakaran dan pengalamannya dalam menangani cabaran alam sekitar ke arah masa depan yang lestari.

Share this article
Follow