Media & Events

SKMM Siasat Dua Lagi Kes Penyebaran Berita Palsu Banjir

29 Dec 2014, bernama
KUALA LUMPUR, 29 Dis (Bernama) -- Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menyiasat dua lagi kes penyebaran berita palsu menerusi aplikasi media sosial dan pesanan berhubung kejadian banjir di Pantai Timur.

Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi berkata kes pertama melibatkan berita palsu kematian ramai mangsa banjir yang kononnya disorok oleh kerajaan dan pihaknya telah mengenal pasti individu yang boleh membantu siasatan kes tersebut.

"Kes kedua membabitkan tiga lagi individu yang kami telah kenal pasti berkaitan penyebaran berita palsu kematian 10 mangsa di Kuala Krai yang dipetik sumber kononnya daripada sebuah stesen berita," katanya dalam kenyataan di Kuala Lumpur, Isnin.

Dalam pada itu, empat individu yang diminta tampil membantu siasatan tentang penyebaran berita palsu bahawa Pusat Pemindahan Sekolah Manek Urai runtuh Ahad, hadir di pejabat SKMM untuk memberi keterangan, Isnin.

Suruhanjaya itu kini dalam proses memperkemas siasatan tersebut dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut.
Share this article
Follow