Media & Events

SKMM tahan suspek hina Agong dalam Facebook

04 Jun 2013, Utusan Malaysia

KUALA LUMPUR 4 Jun - Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini menahan seorang wanita kerana menghina Yang di-Pertuan Agong dalam laman Facebooknya baru-baru ini.

Menurut satu kenyataan oleh suruhanjaya itu, suspek ditahan untuk membantu siasatan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta boleh didakwa dibawah Akta Hasutan 1948.

Wanita itu dipercayai menyembunyikan diri setelah beberapa laman blog menyebarkan identitinya.

"Hasil siasatan serta maklumat yang diterima daripada orang ramai, dengan kerjasama Jabatan Siasatan Jenayah Komersial PDRM hari ini telah berjaya mengesan dan menahan suspek yang menghina Yang di-Pertuan Agong di laman Facebook-nya," menurut kenyataan berkenaan.

SKMM juga memohon rakan-rakan suspek turut tampil ke hadapan untuk membantu siasatan lanjut.

Menurut kenyataan itu, SKMM sangat memandang serius terhadap penyalahgunaan media sosial untuk memuat naik kandungan serta komen-komen yang berunsur menghina terutamanya institusi diraja.

Share this article
Follow