Media & Events

SKMM tambah nombor panggilan radio amatur

05 Jan 2004, Berita Harian
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), memperuntukkan sebanyak 17,000 nombor panggilan kepada operator perkhidmatan radio amatur, tambahan daripada 700 yang ada ketika ini selaras dengan keperluan yang disyaratkan Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU). ITU mensyaratkan agar semua stesen komunikasi radio menggunakan nombor panggilan seperti yang ditetapkan menerusi Siri Nombor Panggilan Antarabangsa. Berdasarkan syarat itu, perkhidmatan radio amatur akan diperuntukkan sebanyak enam karektor nombor panggilan mengikut tiga kawasan geografi utama iaitu Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia manakala nombor dan karektor yang ada sekarang dikekalkan. Ketua Jabatan Bahagian Peruntukan Tugasan SKMM, Ir Mohd Aris Bernawi, berkata dengan tambahan nombor panggilan bagi operator radio amatur akan membuka lebih banyak peluang kepada peminat ‘ham radio’ membabitkan diri dan berkomunikasi dengan rakan mereka sama ada di rumah, dalam kenderaan atau di mana saja mereka berada di Malaysia. “Sejumlah nombor bagi spektrum frekuensi radio sudah diketepikan dan diperuntukkan kepada peminat radio amatur. Frekuensi yang disediakan itu membenarkan pemilik radio amatur berkomunikasi di dalam negara dan di seluruh dunia manakala peluang yang ada amat meluas kerana mereka boleh menggunakan teknologi sedia ada untuk menyiarkan gambar televisyen dan radio satelit,” katanya di Kuala Lumpur dalam satu pertemuan di pejabatnya, baru-baru ini. Beliau berkata, aktiviti radio amatur lebih daripada hobi kerana ia menuntut mereka memiliki pelbagai kemahiran dan pengetahuan terutama dalam bidang elektrik dan elektronik dan ia boleh dimanfaatkan ketika waktu kecemasan dan operasi mencari dan menyelamat. “Pasukan Petronas yang menjelajah Laluan Sutera turut menggunakan radio amatur bagi tujuan komunikasi dengan pusat kawalan di Malaysia,” katanya. Ketika ini, mereka yang menceburi bidang ini di Malaysia tidak ramai berbanding Jepun yang kadar penembusan radio amatur adalah 10 peratus bagi setiap 1,000 penduduk. Mohd Aris berkata, mereka yang hendak mendapatkan nombor panggilan perlu mendaftar dengan SKMM dan menduduki peperiksaan khas yang dikendalikan SKMM dan apabila mereka lulus maka barulah nombor panggilan diberikan. “Mereka akan diuji untuk mengetahui sejauh mana mereka memahami teori radio, undang-undang berkaitan radio serta proses menghantar dan menerima Kod Morse. Pemohon perlu berumur melebihi 14 tahun dan rakyat Malaysia manakala rakyat asing mereka juga perlu mendaftar dengan SKMM dan kita akan memberi penilaian mengikut kes,” katanya. Pemohon juga perlu mengesahkan peralatan yang digunakan dengan SKMM atau agensi pengesahan seperti Sirim. Bagi mengendalikan stesen radio amatur, ada dua kelas lesen iaitu A dan B. Lesen A dibenarkan untuk beroperasi di dalam negara dan juga di seluruh dunia manakala B hanya beroperasi di Malaysia. Bagi mereka yang hendak memohon lesen berkenaan mereka perlu membayar sebanyak RM60 bagi yuran Amateur Radio Apparatus Assignment, RM36 untuk kelas A dan RM24 (Kelas B) setahun. Maklumat lanjut mengenai aktiviti radio amatur boleh melawat laman web www.marts.org.my.
Share this article
Follow