Media & Events

SKMM Terima 17 Aduan Salah Guna Internet Dalam Tempoh Jan-Feb Lepas

12 Mar 2014, Bernama
KUALA LUMPUR, 12 Mac (Bernama) -- Persidangan Dewan Rakyat hari ini diberitahu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 17 aduan penyalahgunaan Internet bagi tempoh Januari dan Februari lepas.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Jailani Johari berkata daripada jumlah itu, sebanyak empat kertas siasatan dibuka manakala baki 13 aduan lagi telah diambil tindakan sewajarnya.

"Tindakan itu ialah sama ada sekatan, melaporkan penyalahgunaan kepada pentadbir laman sesawang dan dirujuk kepada agensi penguatkuasaan yang lain," katanya menjawab soalan Datuk Sapawi Ahmad Sawali (BN-Sipitang) di sini.

Sapawi ingin tahu tahap keseriusan penyalahgunaan kemudahan media sosial seperti Facebook oleh rakyat negara ini dan langkah menanganinya.

Jailani berkata sehingga kini, sebanyak 20 kes telah didakwa di mahkamah bagi kesalahan menurut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998.

Beliau berkata kementerian melalui SKMM sentiasa bekerjasama dengan agensi penguat kuasa lain dalam menguatkuasakan undang-undang yang berkaitan dengan media sosial dan penyalahgunaan Internet.

"Ini kerana Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 bukanlah satu-satunya undang-undang yang terpakai dalam menangani penyalahgunaan media sosial dan Internet.

"Antara undang-undang lain yang terpakai ialah Akta Hasutan 1948, Akta Fitnah 1957, Kanun Keseksaan dan Akta Jenayah Komputer 1998 dan Enakmen Jenayah Syariah," katanya.

Beliau berkata dalam menangani penyalahgunaan Internet, antara tindakan yang diambil oleh SKMM ialah mengenal pasti jenis kesalahan yang dilakukan suspek sebelum dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan.

Jailani berkata kerajaan memandang serius isu penyalahgunaan Internet dan beberapa langkah telah, sedang dan akan diambil antaranya keperluan mengkaji semula keberkesanan AKM 1998 dan Kempen Kesedaran Media Sosial.
Share this article
Follow