Media & Events

Spam perlu ditangani pada peringkat individu

15 Mar 2004, Berita Harian
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), mencadangkan agar masalah spam ditangani pada peringkat individu dengan melaksanakan proses kendalian kendiri, iaitu penerima boleh mengabaikan saja spam diterima atau terus memadamkannya daripada senarai mel elektronik mereka. Pengguna juga dinasihatkan tidak melawat atau berlanggan dengan tempat yang proses penghantaran spam menjadi mudah, iaitu senarai mel seperti kumpulan berita, bilik sembang dan direktori awam manakala bagi pengguna telefon selular, langkah yang serupa perlu diambil, iaitu sama ada mengabaikan mesej diterima menerusi perkhidmatan pesanan ringkas (SMS) atau memadamkannya. Jika mesej SMS berbentuk spam yang diterima itu dalam jumlah yang banyak, pengguna boleh melaporkan kepada penyedia perkhidmatan telefon selular mereka berdasarkan kontrak perjanjian perkhidmatan dan kalau tindakan itu juga gagal menghalang aktiviti spam, mereka boleh melaporkan kepada Forum Pengguna dan Forum Kandungan. Nasihat itu dinyatakan SKMM dalam laporan dipetik daripada laman webnya (www.mcmc.org.my) yang menyediakan laporan maklum balas orang ramai bagi menangani masalah mesej komersial yang tidak diperlukan (spam). Bagi tujuan itu, SKMM memberi definisi spam sebagai aktivti penghantaran mesej yang tidak diperlukan misalnya mel elektronik menerusi Internet atau mesej menerusi SMS kepada pengguna. Ia turut merangkumi semua jenis mesej sama ada komersial atau bukan komersial serta daripada pinjaman perumahan, gadaian, kandungan lucah dan dadah mempertingkatkan rangsangan seks. Untuk pihak operator pula, mereka perlu memastikan segala dasar yang sudah digubal dapat dilaksanakan secara menyeluruh, termasuk juga langkah pemantauan secara berkesan, pengawasan, penyeliaan dan penyiasatan segala aktiviti spam. Begitu juga dengan Kod Kandungan dan Kod Pengguna yang sudah digubal dan diterima pakai oleh penyedia perkhidmatan di negara ini. Kod Pengguna bertujuan melindungi pengguna daripada pelanggaran hak seperti yang ditetapkan dalam syarat kontrak dan juga maklumat peribadi pengguna daripada didedahkan kepada organisasi lain. Masalah juga mungkin timbul jika spam itu datangnya dari luar negara, iaitu mengenal pasti mereka yang melakukan aktiviti spam dan kaedah mengendalikannya secara lebih berkesan di samping isu undang-undang. SKMM berpendapat bagi menangani permasalahan spam, penyelesaian secara teknologi adalah penting berdasarkan aktiviti yang banyak menggunakan sistem rangkaian komunikasi dan juga Internet. Sementara itu, Prinsipal Brandenburg InternetWorking, David H Crocker, berkata aktiviti spam adalah masalah sosial yang perlu ditangani secara bersepadu kerana untuk mengatasi masalah berkenaan pendekatan berasingan yang dilakukan tidak mungkin tercapai hasrat itu. “Adalah penting untuk meletakkan ejen perisian di dalam sistem rangkaian komputer kerana menerusi cara ini ia dapat mengenal pasti mesej dihantar boleh dikategorikan sebagai aktiviti spam atau tidak,” katantya pada sesi planeri Persidangan Internet Asia Pasifik 2004 (Apricot 2004) yang berlangsung di Kuala Lumpur, baru-baru ini. Beliau berkata, langkah pertama mengenal pasti sama ada ia aktiviti spam atau bukan ialah kepercayaan alamat yang menghantar mesej itu, iaitu bagi memastikan penerima mengenali penghantar manakala menilai kandungan mesej yang dihantar juga akan dapat membantu. “Selain itu, menganalisis destinasi alamat juga penting kerana ia dapat menentukan sama ada ia menjadi sasaran spam manakala analisis yang dijalankan untuk mengetahui corak penghantaran mesej juga dapat memastikan sama ada ia spam,” katanya.
Share this article
Follow