Media & Events

Sunting gambar PM, jurugambar minta dibicarakan

08 Dec 2017, berita harian

KUALA LUMPUR: Seorang jurugambar bebas mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas pertuduhan membuat dan memulakan komunikasi jelik menerusi laman Facebook miliknya membabitkan gambar Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak yang disunting, Mei tahun lalu.

Tertuduh, Fikriamin Adenan, 40, membuat pengakuan itu sejurus pertuduhan dibacakan di depan Hakim Syed Faisal Syed Amir.

Berdasarkan kertas pertuduhan, Fikriamin didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi jelik sifatnya dengan niat menyakitkan hati orang lain yang dibaca di Menara A Pandan Kapital, Jalan Pandan Utama Pandan Indah, di sini pada jam 4.43 petang, 19 Mei 2016.

Dia didakwa memulakan komunikasi itu menerusi aplikasi Facebook akaun profil Fikri Amin pada jam 7.36 malam, 16 Mei 2016.

Susulan itu, Fikriamin didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 [Akta 588] dan sabit kesalahan boleh didenda maksimum RM50,000 atau penjara maksimum setahun atau kedua-duanya dan boleh juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas sabitan.

Mahkamah kemudian membenarkan Fikriamin dijamin RM2,500 dan menetapkan 8 Januari depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pendakwaan kes dilakukan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Komunikasi Multimedia, Mohd Sophian Zakaria, manakala tertuduh diwakili peguam, Farida Mohammad.

Share this article
Follow