Media & Events

Tabung Kemanusiaan SMS 13999 Bantu Mangsa Taufan Haiyan

28 Nov 2013, Bernama
KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek melancarkan Tabung Kemanusiaan Komunikasi dan Multimedia Malaysia melalui sistem pesanan ringkas SMS 13999 bagi membantu mangsa Taufan Haiyan di Filipina.

Usaha itu mendapat kerjasama semua syarikat telekomunikasi utama serta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

Sumbangan boleh dibuat menerusi khidmat pesanan ringkas dengan menaip M4P (jarak) 1/3/5/10 untuk sumbangan bernilai RM1, RM3, RM5 atau RM10 dan hantarkan kepada 13999, bermula hari ini hingga 31 Dis.

"Keputusan melancarkan tabung dibuat sebagai tanda perpaduan pihak industri komunikasi dan multimedia bersama penduduk Tacloban yang terjejas teruk akibat kemusnahan oleh taufan Haiyan baru-baru ini," kata Ahmad Shabery pada majlis pelancaran tabung itu di sini hari ini.

Beliau berharap kempen kemanusiaan sebegini dapat menyemai budaya menderma dalam kalangan rakyat Malaysia kepada golongan yang memerlukan.

Ahmad Shabery berkata sistem itu dicontohi daripada apa yang diamal di beberapa negara, termasuk Amerika Syarikat, semasa mengumpul dana bagi membantu mangsa taufan Katrina.

"Ini merupakan cara mudah menggalakkan orang ramai memberi sumbangan, terutama di kawasan luar bandar, kerana mereka tidak perlu ke bank atau pejabat pos untuk menderma," katanya.

Beliau berkata setiap nilai derma akan disalur sepenuhnya kepada tabung itu dan disampaikan kepada pihak kedutaan Filipina pada Januari tahun depan.

Sementara itu, Kedutaan Filipina mengucapkan terima kasih kepada kerajaan kerajaan Malaysia kerana menubuhkan tabung berkenaan bagi membantu mangsa taufan Haiyan.

"Sikap belas kasihan dan persahabatan Malaysia serta masyarakat di seluruh dunia banyak memberikan kami inspirasi untuk meneruskan kehidupan serta membina semula komuniti," kata Menteri dan Konsul Jeneral kedutaan Filipina Medardo G.Macaraig.
Share this article
Follow