Media & Events

Tiada aduan penyebaran SMS selepas daftar prabayar

05 Feb 2007, Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 5 Feb. – Tiada lagi penyebaran khidmat pesanan ringkas (SMS) tidak bertanggungjawab selepas kerajaan mewajibkan pendaftaran telefon prabayar. Inilah kesan positif daripada langkah kerajaan itu yang dilaksanakan sejak akhir tahun lepas. Ketua Bahagian Komunikasi Korporat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM), Adelina Iskandar berkata, perubahan itu agak ketara kerana pihaknya boleh mengesan individu yang menyebarkan SMS atau panggilan berbaur fitnah, perkauman dan dakyah melalui nombor yang didaftarkan dengan begitu mudah. ‘‘Walaupun masih terlalu awal untuk meraikan keberkesanan, namun dengan ketiadaan aduan berbanding sebelum diwajibkan, pendaftaran adalah cara terbaik kerajaan dalam menangani penyebaran SMS yang tidak bertanggungjawab,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Beliau berkata demikian ketika mengulas sama ada SKMM menerima aduan mengenai penyebaran SMS berbaur fitnah, perkauman dan dakyah. Menurut Adelina, mengikut prosedur, sekiranya SKMM menerima aduan, ia akan disiasat dari segi punca dan pemilik nombor itu. ‘‘Jika aduan itu dibuat di SKMM, maka suruhanjaya akan menyiasat dan jika aduan kepada polis, polis pula akan menyiasat,’’ katanya. Pada 31 Disember lalu, semua nombor telefon prabayar yang tidak didaftarkan telah ditamatkan perkhidmatannya oleh semua syarikat penyedia rangkaian (Telko) masing-masing. Sebanyak 17.8 juta pelanggan telefon prabayar di seluruh negara mendaftar bagi mengelak talian mereka disekat
Share this article
Follow