Media & Events

Tiada arahan cukai perkhidmatan kepada pengguna telefon prabayar: SKMM

16 Mar 2012, Harian Metro
KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) hari ini menjelaskan yang ia tidak pernah mengeluarkan sebarang memo kepada pembekal perkhidmatan selular mengarahkan mereka melaksanakan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus ke atas pelanggan prabayar. Pengawal selia telekomunikasi itu membuat penjelasan berkenaan berikutan laporan media mengenai nota Hong Leong Investment Bank Research berhubung prospek industri telekomunikasi tempatan. SKMM juga menyifatkan spekulasi itu sebagai mengelirukan. HLIB Research memetik sumber industri sebagai berkata yang syarikat telekomunikasi mungkin akhirnya dibenarkan menyalurkan cukai perkhidmatan enam peratus kepada pelanggan prabayar lewat tahun ini. Pengerusi SKMM, Datuk Mohamed Sharil Tarmizi yang menyifatkan laporan tersebut adalah spekulasi semata-mata berkata, "Tiada arahan telah dibuat mengenai isu ini". "Perbincangan sedang dijalankan untuk mencari jalan penyelesaian terbaik agar pengguna akan terus menerima perkhidmatan komunikasi pada harga yang berpatutan," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini. Mohamed Sharil berkata, sebarang tindakan mengenainya akan mengambil kira kepentingan rakyat dan SKMM akan memastikan supaya rakyat tidak dibebankan. HLIB Research juga membuat spekulasi yang pengenaan cukai perkhidmatan enam peratus serta insentif cukai jalur lebar yang dilaksanakan tahun lepas akan meningkatkan lagi pendapatan syarikat telekomunikasi dalam jangka panjang.
Share this article
Follow