Media & Events

Tiada bukti bersubahat

20 Mar 2012, Harian Metro
KEMENTERIAN Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan tidak menolak kemungkinan wujudnya salah laku di kalangan wakil pengedar syarikat telekomunikasi atau ‘orang dalam’ yang mengeluarkan maklumat peribadi pelanggan kepada pihak penyedia kandungan (CP). Timbalan Menterinya, Datuk Joseph Salang berkata, Suruhanjaya Komunikasi Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa melaksanakan tanggungjawab mengawal aktiviti pemegang lesen menerusi Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998. Bagaimanapun, tiada bukti menunjukkan pihak syarikat bersekongkol, menyalurkan maklumat peribadi pelanggan kepada CP. “Memang ramai pengguna yang menerima SMS daripada nombor tidak dikenali menyangka syarikat telekomunikasi bertanggungjawab mendedahkan maklumat peribadi mereka kepada pihak ketiga. “Namun, sangkaan itu tidak tepat kerana siasatan SKMM mendapati tiada bukti menunjukkan wujudnya penyaluran maklumat peribadi pengguna kepada CP,” katanya di Dewan Rakyat, semalam. Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Ismail Abd Muttalib (BN-Maran) berhubung isu kebocoran maklumat peribadi pengguna perkhidmatan telekomunikasi kepada pihak CP hingga mendatangkan situasi tidak menyenangkan. Biarpun demikian, menurut Joseph, beliau tidak menolak kemungkinan wujudnya salah laku di kalangan wakil pengedar syarikat telekomunikasi atau ‘orang dalam’. “Saya percaya, wujud kemungkinan pembabitan ‘dealer’ syarikat telekomunikasi yang bertindak membocorkan maklumat, khususnya nombor telefon pelanggan. “Tapi saya juga percaya kebanyakan penghantaran SMS yang meminta pengguna melanggan perkhidmatan mereka dihantar CP secara rambang,” katanya.
Share this article
Follow