Media & Events

Tiada lagi murid tercicir

03 May 2013, Harian Metro

Usaha memantapkan penguasaan ilmu dalam kalangan murid seawal peringkat sekolah rendah perlu dilakukan secara agresif dan ini termasuk menerusi penyertaan dalam kelas tambahan di luar waktu sekolah.

Seiring Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM) yang akan dilaksanakan selama 13 tahun mulai tahun ini, proses pencarian ilmu bukan lagi sekadar mengikuti pembelajaran di sekolah sebaliknya memerlukan pemantapan berterusan tanpa mengira masa dan lokasi.


Inilah yang cuba dilakukan kerajaan khususnya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang prihatin dengan kecemerlangan pendidikan murid terutama calon peperiksaan utama seperti Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

 

Menerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), program Interaktif-Tuisyen Rakyat 1Malaysia (i-TR1M) diperkenalkan tahun lalu kepada semua sekolah kerajaan meliputi sekolah rendah, sekolah menengah dan sekolah jenis kebangsaan.


Disediakan secara percuma, program ini memberi keutamaan kepada murid tahap lemah dan sederhana dalam pembelajaran mereka serta daripada keluarga kurang berkemampuan.


Menurut Pengerusi YGMB Tan Sri Alimuddin Mohd Dom, setakat ini, pelaksanaan i-TR1M dilakukan di peringkat negeri dengan Selangor menjadi perintis kepada program ini pada 2012 membabitkan dua mod pembelajaran iaitu konvensional dan dalam talian (online).

 

Bagaimanapun, pada tahun ini katanya, hanya mod online dilaksanakan yang disifatkan beliau lebih menyeluruh serta mudah dicapai semua murid tanpa mengira lokasi.


“Pada hari ini, yuran tuisyen cukup mahal yang mana untuk satu mata pelajaran saja bayarannya antara RM30 hingga RM40 sebulan, malah ada mencecah ratusan ringgit,” katanya.

 

i-TR1M menawarkan empat mata pelajaran teras iaitu Bahasa Malaysia, Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.


Berbeza pada tahun lalu yang turut menyediakan kelas untuk calon PMR, pada tahun ini tumpuan hanya diletakkan kepada murid yang bakal menduduki UPSR dan SPM.


Alimuddin berkata, setiap murid yang terpilih untuk program ini diberi kata laluan bagi membolehkan mereka mengakses portal i-TR1M pada bila-bila masa mengikut kesesuaian masing-masing.


“Kita percaya dengan adanya kemudahan makmal komputer di sekolah, Medan Info Desa, Pusat Jalur Lebar Komuniti, perpustakaan desa, pembekalan komputer Netbook 1Malaysia malah komputer peribadi sekalipun, tiada masalah untuk mereka menjalani kelas ini secara online.


“Malah pada hari ini, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) seakan-akan menjadi kewajipan untuk dikuasai setiap murid supaya tidak tercicir dalam arus pendidikan yang kian moden,” katanya.


Hasil pelaksanaan i-TR1M di Selangor pada tahun lalu, hampir 95 peratus daripada 29,384 murid di 101 sekolah yang terbabit dalam program lulus dengan baik dalam semua mata pelajaran diambil pada peperiksaan akhir tahun mereka.


Alimuddin berkata, pada tahun ini, 20,000 murid sedang mengikuti i-TR1M masing-masing 10,000 di sekolah rendah dan 10,000 di sekolah menengah membabitkan 762 sekolah di seluruh Perak.


“Hasil pemantauan mendapati murid memanfaatkan sepenuhnya portal i-TR1M dan menggunakan sepanjang masa baik pada waktu malam mahupun cuti sekolah. Ia secara tidak langsung menggalakkan mereka untuk menggunakan kemudahan Internet secara berhemah menerusi aktiviti menimba ilmu,” katanya.

Share this article
Follow