Media & Events

Tidak benar drama asing dapat lebih siaran

29 Oct 2007, Utusan Malaysia
KUALA LUMPUR 29 Okt. – Kementerian Tenaga, Air dan Komunikasi menafikan drama asing diberi masa siaran yang lebih berbanding drama tempatan di stesen televisyen negara ini. Timbalan Menterinya, Datuk Shaziman Abu Mansor berkata, sehingga suku kedua tahun ini, 60 peratus daripada jumlah keseluruhan kandungan yang disiarkan stesen televisyen terestrial swasta ialah dalam bahasa Malaysia. Malah kata beliau, bagi stesen TV3 dan TV9 yang dikuasai oleh Media Prima, peratusan penyiaran kandungan tempatan berbahasa Malaysia termasuk drama, masing-masing mencapai 81 peratus dan 75 peratus. Bagaimanapun, bagi NTV7 dan 8TV, kandungan tempatan masing-masing hanya 15 peratus dan 20 peratus. ‘‘Keadaan ini disebabkan strategi pembahagian segmen dan penstrukturan rancangan yang dilakukan oleh pihak Media Prima Berhad selaku pemilik keempat-empat stesen televisyen berkenaan untuk mengelak pertembungan sasaran penonton,” katanya di Dewan Rakyat hari ini. Beliau menjawab soalan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran) mengenai rasional filem dan drama luar negara diberi waktu tayangan yang lebih berbanding drama tempatan di stesen televisyen (TV) tempatan. Shaziman berkata, semua stesen TV terestrial swasta dikenakan syarat khas lesen untuk menyiarkan 60 peratus kandungan dalam bahasa Malaysia dan 60 peratus daripada kandungan selain bahasa Malaysia hendaklah kandungan tempatan. ‘‘Pemegang lesen juga dikehendaki menyediakan program kandungan tempatan yang mempromosikan budaya dan identiti kebangsaan,” katanya. Beliau berkata, kementerian bersama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sentiasa memantau dan menggalakkan stesen-stesen televisyen swasta supaya memperbanyakkan kandungan tempatan dari semasa ke semasa.
Share this article
Follow