Media & Events

Trend Aplikasi Percuma Dorong Peningkatan Penggunaan Jalur Lebar - Skmm

19 Sep 2013, Bernama
GEORGE TOWN, 19 Sept (Bernama) -- Peningkatan jumlah pelanggan perkhidmatan jalur lebar sebanyak enam juta sehingga suku kedua tahun ini adalah didorong oleh perkembangan aplikasi percuma dan kemunculan pelbagai peranti canggih dalam pasaran.

Ketua Bahagian Pengurusan Jalur Lebar Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) Nor Akmar Shah Minan berkata peningkatan itu juga sejajar dengan hasrat kerajaan untuk meningkatkan akses Internet serta celik teknologi maklumat (IT) dalam kalangan masyarakat.

Jumlah pelanggan perkhidmatan jalur lebar untuk tempoh sama tahun lepas ialah empat juta orang.

"Pada suku kedua tahun ini juga, kadar penembusan pelanggan jalur lebar telah berkembang dengan pesat dengan pendaftaran bagi pengguna telefon selular sahaja sudah mencecah 43 juta pelanggan berbanding hampir 29 juta populasi penduduk," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian hadiah Liga Remaja Kreatif Peringkat Wilayah Utara di sini hari ini.

Selain itu, katanya penggunaan perkhidmatan jalur lebar di luar bandar turut meningkat menerusi 4,000 projek kampung tanpa wayar di seluruh negara.

Sementara itu, Nor Akmar berkata pertandingan video pendek bertema 'Klik dengan Bijak' anjuran bersama SKMM, Kementerian Pendidikan dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) itu disertai 838 penyertaan dari sekolah menengah sekitar Perlis, Kedah, Perak dan Pulau Pinang.

Pertandingan yang menawarkan hadiah wang tunai RM13,500 itu bertujuan mendidik pelajar mengenai kepentingan mengakses kandungan Internet secara bijak selain memberi pendedahan asas mengenai aspek teknikal penyediaan dokumentari, sketsa dan menyampaikan mesej awam.

Johan dari setiap negeri iaitu Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan Chung Ling (Pulau Pinang), Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Kubang Pasu (Kedah), Sekolah Menengah Agama Madrasah Al-Alawiyah (Perlis) dan SMK Rapat Setia dari Perak akan berentap pada pertandingan peringkat kebangsaan, Oktober depan bagi merebut hadiah wang tunai RM22,500.
Share this article
Follow